EKONOMI

PELABURAN BAHARU MICROSOFT SERLAH DAYA TARIKAN MALAYSIA SEBAGAI HAB PELABURAN DIGITAL - MIDA

02/05/2024 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Pelaburan berterusan Microsoft Corporation di Malaysia menyerlahkan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan digital utama dengan ekosistem menarik untuk syarikat yang ingin menubuhkan operasi di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pelaburan berterusan ini menyokong kesediaan Malaysia untuk muncul sebagai pusat teknologi utama, sekali gus menarik minat perusahaan teknologi utama.

"Ketika pendigitalan semakin mengubah ekonomi global, kami mengalu-alukan pengumuman pelaburan baharu Microsoft di Malaysia.

“Kami berharap untuk terus bekerjasama dengan Microsoft bagi memupuk inovasi dalam syarikat pemula niaga, mencipta pekerjaan dan memanfaatkan kuasa transformatif kecerdasan buatan (AI) untuk kebaikan masyarakat Malaysia. AI kini menjadi teknologi penting pencetus perubahan yang memberi impak kepada kita semua,” katanya dalam satu kenyataan

Microsoft pada Khamis mengumumkan pelaburan besar berjumlah US$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam infrastruktur awan dan AI bagi tempoh empat tahun akan datang, sejajar dengan inisiatif "Bersama Malaysia" yang dilancarkan pada 2021.

Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital utama, memperkukuh keterangkuman dan pertumbuhan ekonomi melalui teknologi inovatif.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella dilapor menyatakan komitmen syarikat itu untuk menyokong transformasi AI Malaysia bagi manfaat semua rakyat Malaysia.

“Kami percaya infrastruktur awan dan AI Microsoft akan mewujudkan kesan riak yang mencetuskan peluang yang akan dapat merapatkan jurang digital di samping memperkasakan perniagaan untuk berkembang maju dalam era digital.

“Malaysia telah mengambil langkah untuk menguasai dan menggunakan AI dengan baik. Dengan memanfaatkan AI, inisiatif ini menjanjikan peluang baharu untuk inovasi, pertumbuhan ekonomi dan keterangkuman,” kata Sikh Shamsul Ibrahim.

Beliau berkata komitmen teguh Malaysia terhadap infrastruktur digital telah meletakkan asas yang kukuh ke arah usaha melaksanakan pendigitalan.

Komitmen ini disokong oleh sejumlah besar pelaburan digital  yang diluluskan iaitu sebanyak RM144.7 bilion dari 2021 hingga 2023, termasuk RM114.7 bilion yang diperuntukkan kepada infrastruktur. 

“Ketika negara semakin maju, kebangkitan AI akan memacu perubahan transformatif merentas ekosistem digital kita - daripada pembangunan tenaga kerja kepada penggunaan perisian dan peningkatan infrastruktur, bagi memastikan Malaysia kekal meneraju inovasi dan kemajuan.

“Berpandukan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang bertujuan untuk membangunkan kekompleksan ekonomi dan negara yang aktif secara digital, MIDA, sebagai agensi penggalakan pelaburan utama Malaysia, akan meneruskan misinya untuk menarik pelaburan digital yang dilengkapi dengan teknologi canggih untuk merangsang inovasi tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan