BERITA TERGEMPAR   Manufacturing sector increased by 1.9 per cent in 1Q 2024 after recording a contraction of 0.3 per cent in the previous quarter -- DOSM | 
 AM

IMIGRESEN LABUAN TAHAN 52 PENDATANG TANPA IZIN DALAM SIRI OPERASI

02/05/2024 08:26 PM

LABUAN, 2 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen Labuan telah menahan 52 pendatang tanpa izin dalam tempoh Januari hingga 30 April tahun ini menerusi siri operasi menyasarkan titik panas di sekitar pulau bebas cukai itu, kata pengarahnya Raymond Entalai.

"Pendatang tanpa izin terbabit, kebanyakannya warga Filipina dan Indonesia, didapati tanpa dokumen perjalanan yang sah, dengan sebahagian mereka memiliki pas lawatan yang telah tamat tempoh dan tiada permit kerja," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata usaha jabatan itu telah membawa kepada pengenalpastian dan pengesanan individu yang melanggar undang-undang imigresen, selain mengetengahkan kepentingan kerjasama orang awam dalam membantu operasi.

"Kejayaan operasi kami adalah susulan maklumat orang awam…sepanjang tempoh empat bulan ini, sebanyak 833 individu disaring, dengan hanya segelintir didapati melanggar peraturan imigresen," katanya.

Selain itu, Raymond berkata 18 warga asing telah mengikuti Program Repatriasi Migran (PRM) terdiri daripada 15 warga Filipina termasuk seorang kanak-kanak serta tiga rakyat Pakistan.

Beliau berkata Jabatan Imigresen Labuan komited dalam memastikan ketelusan sistem imigresen pulau itu dan akan terus melaksanakan operasi untuk menangani aktiviti imigresen haram. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan