EKONOMI

PM ANWAR, MENTERI EKONOMI INDONESIA SEPAKAT DORONG ASEAN-GCC JADI KEKUATAN EKONOMI BAHARU

30/04/2024 09:54 PM

 

JAKARTA, 30 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Koordinator bagi Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto percaya dialog strategik ASEAN-Majlis KerjasamaTeluk (ASEAN-GCC) di Forum Ekonomi Sedunia (WEF) penting sebagai momentum dalam mengukuhkan kerjasama ASEAN dan GCC, khususnya bagi perdagangan dan pelaburan.

Kedua-dua pemimpin berkenaan menyertai menteri dari ASEAN dan GCC yang diundang oleh WEF untuk membincangkan dan mengenal pasti bagaimana kedua-duanya boleh meningkatkan kerjasama untuk pertumbuhan mampan di tengah-tengah ketidaktentuan global.

Airlangga dalam satu kenyataan menjelaskan Indonesia, Malaysia dan Laos adalah "Troika" Pengerusi ASEAN tahun ini, iaitu konsep penggiliran pengerusi sesuatu acara bagi memastikan kesinambungan isu-isu yang dibincangkan.

Pengerusi ASEAN 2023 disandang oleh Indonesia bertemakan "Epicentrum of Growth",  Laos pada tahun ini bertepatan dengan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan Malaysia pula pada tahun depan.

"Oleh itu kerjasama antara wilayah adalah sangat penting, terutamanya berkaitan dengan agenda domestik untuk mencapai Indonesia Emas menjelang 2045 di tengah-tengah kelembapan ekonomi global dan ketegangan geopolitik semasa yang semakin meningkat," katanya.

Beliau turut menyarankan negara-negara GCC menyertai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi yang ditubuhkan oleh ASEAN dan negara-negara rakan kongsi agar menjadi blok perdagangan mega terbesar di dunia.

“Blok perdagangan ini dapat mempermudah pelbagai potensi kerjasama di sektor perdagangan, pelaburan, digital ekonomi, kewangan Islam, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan pertukaran belia,” kata Airlangga.

Menurutnya, pelaksanaan rangka Kerja ASEAN-GCC perlu lebih jelas dan konkrit manakala kerjasama perjanjian perdagangan bebas (FTA) perlu bermula dengan negara-negara GCC sekali gus membuka peluang pelaburan dan perdagangan baharu.

"Sektor pertanian, tenaga dan pelancongan harus diberi fokus termasuk kerjasama dalam bidang peralihan tenaga, penyimpanan karbon, pendidikan, budaya dan industri produk halal yang akan menyumbang kepada peningkatan keselamatan makanan dan tenaga, serta menghantar isyarat kepada dunia bahawa ASEAN-GCC ialah kuasa ekonomi baharu dunia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan