EKONOMI

BURSA MALAYSIA CATAT UNTUNG BERSIH LEBIH TINGGI RM75.03 JUTA PADA SUKU PERTAMA

30/04/2024 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Keuntungan bersih Bursa Malaysia Bhd meningkat 33.6 peratus kepada RM75.03 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2024 daripada RM56.17 juta pada suku sama tahun kewangan 2023.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, perolehan meningkat kepada RM187.20 juta daripada RM156.50 juta bagi tempoh yang sama, didorong peningkatan perolehan operasi pasaran sekuriti sebanyak 23 peratus tahun ke tahun kepada RM123.1 juta daripada RM100.0 juta.

Menurut Bursa Malaysia, jumlah perbelanjaan operasi meningkat 8.6 peratus tahun ke tahun kepada RM87.1 juta pada suku pertama 2024 daripada RM80.2 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023, ekoran kos kakitangan yang lebih tinggi dan perbelanjaan teknologi.

Pergerakan pantas dagangan juga mengalami peningkatan, melonjak kepada 39 peratus pada suku pertama 2024 daripada 31 peratus pada suku pertama tahun kewangan 2023.

Selain itu, perkhidmatan penyenaraian dan penerbit berkembang 8.9 peratus tahun ke tahun kepada RM16.3 juta daripada RM15.0 juta sebelum ini, manakala perkhidmatan depositori menyaksikan kenaikan sebanyak 18.3 peratus tahun ke tahun kepada RM15.5 juta daripada RM13.1 juta tahun lepas.

Sementara itu, perolehan operasi pasaran derivatif menokok 12.7 peratus tahun ke tahun kepada RM31.8 juta daripada RM28.3 juta tahun lepas, didorong terutama oleh peningkatan purata kontrak harian (ADC) bagi kontrak niaga hadapan minyak kelapa sawit mentah (FCPO) dan kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FKLI), jelasnya.

FCPO dan FKLI secara kolektif mendorong ADC pasaran derivatif menjadi lebih tinggi sebanyak 18.0 peratus tahun ke tahun kepada 84,222 kontrak pada suku pertama 2024, tambahnya.

Bagi pasaran Islam, perolehan operasi kekal stabil pada RM4.5 juta, menjejaki prestasi suku yang sama sebelumnya, manakala segmen perniagaan data menunjukkan pertumbuhan ketara dengan pendapatan operasi meningkat 21.9 peratus tahun ke tahun kepada RM19.0 juta daripada RM15.6 juta pada suku pertama 2023.

Permodalan pasaran berada pada RM1.9 bilion setakat 31 Mac, 2024, dengan keuntungan asas meningkat 2.4 sen kepada 9.3 sen, menurut Bursa Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata bursa itu telah memulakan tahun ini dengan kukuh, menjejaki momentum positif tahun lepas.

Beliau berkata nilai dagangan harian purata (ADV) bagi dagangan dalam pasaran (OMT) pasaran sekuriti terus berkembang, melonjak 36.9 peratus tahun ke tahun kepada RM2.9 bilion daripada RM2.1 bilion pada suku pertama 2023, memberi sumbangan besar kepada perolehan operasi suku ini.

“Walaupun indikator ekonomi utama menunjukkan unjuran yang lebih cerah bagi ekonomi Malaysia, perkembangan global dan tempatan yang berterusan akan terus mempengaruhi turun naik ketara dan prestasi pasaran sekuriti dan derivatif.

“Kami telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa lain untuk memastikan kecekapan pasaran serta peningkatan kebolehcapaian pasaran dan mudah tunai untuk menyokong peserta dalam tempoh ini.” katanya.

Muhamad Umar berkata Bursa Malaysia berkedudukan baik untuk terus membangunkan pasaran dan mencatatkan kemajuan seterusnya berdasarkan pelan strategik.

“Kami menjangkakan momentum pertumbuhan dalam perniagaan data dengan platform Perisikan Kelestarian Berpusat (CSI) yang akan mendorong ketelusan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), yang disasarkan akan dilancarkan pada Jun 2024,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan