JENAYAH & MAHKAMAH

WANITA SARAT MENGANDUNG KEJAR PENCURI SEJAUH 50 METER

30/04/2024 03:22 PM

SHAH ALAM, 30 April (Bernama) -- Seorang wanita yang sarat mengandung sembilan bulan, nekad mengerah kudrat berlari sejauh 50 meter mengejar pencuri yang melarikan beg tangannya ketika dia berada di dalam tandas di sebuah pasar raya di Seksyen 23, di sini, malam tadi.

Usaha wanita berusia 37 tahun dan memiliki dua anak itu berbaloi apabila suspek lelaki berusia 22 tahun berjaya diberkas dengan bantuan orang ramai yang turut mengejar lelaki terbabit selepas mendengar jeritan mangsa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada wanita terbabit yang bekerja sebagai operator kilang pada 10.57 malam.

Beliau berkata semasa kejadian, mangsa telah pergi ke pasar raya itu berseorangan untuk membeli persiapan bersalin bagi menyambut kelahiran anak ketiga.

"Semasa mangsa berada di tandas wanita, beliau menyedari beg sandangnya yang di sangkut di pintu tandas telah dilarikan oleh suspek. 

“Mangsa kemudian bergegas keluar dari tandas dan bertindak mengejar serta menjerit meminta bantuan orang ramai, sebelum lelaki itu berjaya ditangkap bersama beg sandang milik mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita itu tidak mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Shah Alam untuk menunggu waktu melahirkan anak.

Mohd Iqbal berkata siasatan mendapati lelaki yang bekerja di sebuah syarikat penapis air itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Suspek kini direman hingga 2 Mei untuk disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Muhammad Fairunizam Puasa menerusi talian 013-6616 845 bagi membantu siasatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan