JENAYAH & MAHKAMAH

BEKAS TIMBALAN PENDAFTAR PTG DIDAKWA TIPU STATUS TANAH RIZAB MELAYU

30/04/2024 01:19 PM

IPOH, 30 April (Bernama) -- Seorang bekas pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menipu Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak sehingga menyebabkan pemecahan lot tanah rizab Melayu membabitkan kawasan seluas kira-kira 649.2 hektar, pada 2012.

Rosli Che Mohamed, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Tertuduh selaku Timbalan Pendaftar Hakmilik di jabatan berkenaan didakwa memperdaya Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak untuk mempercayai bahawa tanah No Hak Milik PN 174770-174772, No Lot PT 17527-17529, Mukim Sitiawan, Manjung Perak adalah bukan tanah rizab Melayu melalui Borang Pembetulan Data Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak bertarikh 25 Mac 2011.

Perbuatan itu mendorong Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak untuk meluluskan permohonan Pecah Sempadan Tanah bagi Hakmilik PN 174772, Lot 17527 kepada 317 Plot seluas kira kira 649.2 hektar Mukim Sitiawan, Daerah Manjung kepada Nadi Agrobusiness Sdn Bhd, iaitu lembaga terbabit tidak akan berbuat demikian sekiranya mengetahui perkara itu tidak benar.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di PTG Negeri Perak, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini pada 4 Jan 2012, mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mansor mencadangkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin memandangkan kesalahan yang dilakukannya adalah serius.

Peguam Syarul Nizam Rabi bagaimanapun merayu jaminan minimum RM3,000 atas alasan anak guamnya seorang pesara, menanggung seorang anak yang menuntut di universiti serta menghidap penyakit jantung yang memerlukan rawatan di Institut Jantung Negara setiap enam bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat setiap bulan serta 30 Mei depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan