AM

PROGRAM JELAJAH SISWA ANTARA PENGISIAN HAWANA 2024

02/05/2024 10:10 AM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 pada Mei ini buat julung kalinya akan menyaksikan penglibatan pelajar jurusan komunikasi menerusi Program Jelajah Siswa. 

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin berkata Program Jelajah Siswa itu dilaksanakan sebagai usaha memberi pendedahan kepada pelajar jurusan berkenaan tentang industri media kewartawanan masa kini.

"Program Jelajah Siswa akan merangkumi enam zon iaitu Sabah, Sarawak, Utara, Timur dan Selatan serta zon Tengah dengan pelancarannya dijadualkan pada 24 Mei ini oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. 

"Pada program itu, dua topik besar diberikan kepada mereka (pelajar) yang perlu difahami iaitu mengenai semak fakta atau fact check selain taklimat berkaitan Mobile Journalism (MOJO) yang membantu untuk menjadi seorang wartawan serba boleh," katanya.

Nur-ul Afida berkata demikian semasa menjadi tetamu pada Program Bual Bicara Apa Khabar Malaysia: Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Bernama TV hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2024 berkata pihaknya turut menyumbang komputer berkeupayaan tinggi dan sebuah televisyen yang boleh digunakan pelajar dalam sesi pembelajaran nanti. 

Sambutan HAWANA 2024 yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak, menurut Nur-ul Afida melibatkan sedikit kelainan apabila ia diadakan pada 25 hingga 27 Mei walaupun tarikh sebenar Hari Wartawan Nasional ialah pada 29 Mei setiap tahun.

"Tarikh sambutan diawalkan kerana 29 Mei adalah berdekatan dengan sambutan Hari Gawai (disambut 1 Jun) dan pihak kami mendapat sambutan baik daripada kerajaan negeri Sarawak. 

"Namun sebagai agensi pelaksana Kementerian Komunikasi bagi sambutan HAWANA tahun ini, Bernama telah merancang pelbagai program dan pengisiannya cukup banyak. Ia (sambutan) bukan sahaja bermula dan berakhir di Sarawak, sebaliknya akan berterusan di Semenanjung Malaysia," katanya.

Nur-ul Afida berkata sambutan HAWANA akan bermula dengan program Persidangan Media Antarabangsa anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Jamuan Makan Malam anjuran Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk pengamal media terlibat manakala kemuncak sambutan ialah pada 27 Mei.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijangka menghadiri HAWANA 2024, yang memasuki edisi keempat tahun ini, selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018, dan sambutan berikutnya di Melaka (2022) dan Perak (2023).

Sambutan HAWANA menjadi platform untuk pengamal media berkumpul dan membincangkan isu semasa yang dihadapi industri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan