JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS SELAMAT EMPAT MANGSA PEMERDAGANGAN ORANG DI LABUAN

30/04/2024 12:30 PM

LABUAN, 30 April (Bernama) -- Polis berjaya menyelamatkan empat wanita warga Filipina yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang.

Ketua Polis Labuan Supt Mohd Hamizi Halim berkata mangsa berusia antara 31 dan 33 tahun itu didakwa dipaksa bekerja di kelab malam di pulau bebas cukai itu.

Beliau berkata tiga wanita diselamatkan di pulau ini pada 26 April, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri ke Penampang sebelum diselamatkan pada 27 April oleh Jabatan Siasatan Jenayah Cawangan D7 Sabah.

“Operasi menyelamat wanita itu dijalankan di bawah Op Pintas. Kami turut menahan dua lelaki termasuk seorang warga Filipina masing-masing berusia 22 dan 36 tahun pada 26 April lepas di sebuah pusat hiburan dan hotel di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Hamizi berkata kedua-dua mereka masing-masing direman dari 28 April hingga 2 dan 4 Mei, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

“Tindakan menyelamat wanita berkenaan memperlihatkan komitmen kami untuk memerangi pemerdagangan orang dan melindungi hak individu, tanpa mengira kewarganegaraan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan