KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Kanser mulut, penyakit berpotensi menyebabkan kematian yang dicirikan oleh perkembangan senyap dan selalunya lewat dikesan, telah muncul sebagai antara penyakit yang membimbangkan dalam kalangan orang awam.
Kajian menunjukkan bahawa kadar kelangsungan hidup bagi kanser mulut dalam kalangan rakyat Malaysia ialah hampir 50 peratus selepas menjalani rawatan melalui pembedahan dan radioterapi yang jauh lebih rendah berbanding di kebanyakan negara maju.
Menurut Pusat Penyelidikan Kanser Malaysia, pada 2020 sejumlah 377,713 individu telah didiagnosis dengan kanser mulut di seluruh dunia dan 177,757 daripada mereka meninggal dunia.
Pakar Perunding Otorinolaringologi, Otologi, Neurotologi, Pembedahan Kepala & Leher dan Pangkal Tengkorak di Pusat Perubatan Sunway Dr Shailendra Sivalingam berkata penyakit itu adalah disebabkan oleh faktor genetik, persekitaran dan gaya hidup serta mempunyai kaitan rapat dengan Human Papilloma Virus (HPV) dan bukan HPV.
Beliau berkata HPV, terutama jenis berisiko tinggi seperti HPV-16 yang sangat berkait dengan kanser orofarinks, menunjukkan hubung kait yang kuat khususnya melibatkan kanser berkaitan tonsil.
“Antara penyebab kanser mulut ialah jangkitan HPV, merokok secara berlebihan atau berpanjangan, mengambil minuman beralkohol secara berlebihan dan kurang menitikberatkan kebersihan gigi yang kemudian menyebabkan seseorang mengalami kesan karsinogen dan kerengsaan kronik dalam rongga mulut sehingga menyebabkan sel dengan gen penindas tumor yang rosak berubah menjadi prakanser dan kemudiannya kanser," kata beliau.
Dr Shailendra berkata kanser mulut, yang sering menjejaskan gusi, pipi, lidah dan tonsil, pada mulanya boleh muncul sebagai tompokan putih atau ulser.
“Bergantung kepada lokasi kanser tersebut, ia boleh merebak dengan cepat di sekitar kerongkong atau ke nodus limfa kerana rongga mulut mempunyai sistem saliran limfa yang kompleks sekali gus merangsang penyebaran sel tumor dengan lebih cepat," katanya.
Bagi populasi di Asia Selatan, tabiat mengunyah sirih juga boleh menyumbang kepada kanser mulut dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengklasifikasikan sireh serta pinang sebagai bahan karsinogenik dan memberi amaran tentang kesannya terhadap kanser.
"Sifat sirih yang berasid kuat, mengandungi arekolin dan kapur apabila berada dalam rongga mulut untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan kerengsaan berterusan pada mukosa rongga mulut sekali gus menyumbang kepada kanser," kata Dr Shailendra.
Beliau turut menekankan kepentingan berwaspada terhadap sebarang keganjilan pada mulut seperti ulser berpanjangan atau pendarahan berlebihan dalam rongga mulut, pipi atau tekak yang sering diabaikan pada mulanya.
“Hanya apabila gejala semakin melarat, misalnya perubahan suara, kesukaran untuk makan atau penurunan berat badan yang ketara barulah intervensi berlaku dan pada masa itu, kanser mungkin sudah berada di Tahap 3 iaitu situasi lebih sukar dirawat.
“Jika anda berasa tidak selesa di bahagian dalam mulut lebih dari seminggu, jangan tunggu untuk membuat pemeriksaan doktor,” katanya.
Dr Shailendra juga berkata pengesanan awal boleh meningkatkan peluang kejayaan bagi rawatan dan pemulihan.
Beliau berkata diagnosis kanser mulut melibatkan proses terperinci iaitu daripada biopsi sehinggalah menentukan tahap kanser yang menggambarkan betapa pentingnya pengesanan awal.
Beliau berkata rawatan kanser mulut mungkin melibatkan pembedahan pada peringkat awal kepada gabungan pembedahan, kemoterapi dan radiasi dalam kes yang lebih teruk.
Rawatan yang dijalankan selalunya melibatkan kaedah pembedahan yang boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit termasuk kemungkinan mengalami kecacatan dan kesukaran bercakap serta menelan disebabkan tumor tersebut atau pembuangan kanser pada lidah, pipi, bibir atau kawasan tonsil.
Dr Shailendra menasihati orang ramai supaya menjauhkan diri daripada tembakau dan sirih, menjaga kebersihan mulut dan membuat pemeriksaan gigi secara berkala untuk mengurangkan risiko kanser mulut.
Beliau berkata dengan peningkatan kanser mulut dalam kalangan belia, kajian menunjukkan vaksin HPV berkesan dalam mencegah penyakit itu, dengan syarat ia diambil awal.
“Vaksin HPV adalah perlindungan yang berkesan terhadap kanser mulut, kepala, leher dan serviks… bagaimanapun, ia tidak berfungsi jika anda sudah menghidap kanser atau sudah dijangkiti.
“Oleh itu, lebih awal vaksin diambil, lebih baik,” katanya.
-- BERNAMA
(Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut).
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan