AM

ANWAR BERTEMU PM PAKISTAN DAN MENTERI LUAR TURKIYE

30/04/2024 12:45 AM

Daripada Rosmalis Anuar

RIYADH, 29 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif di luar mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di sini hari ini.

Pertemuan hampir setengah jam itu menyaksikan kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan Putrajaya-Islamabad sekali gus melonjakkan lagi perdagangan dua hala ke peringkat lebih tinggi.

Perbincangan juga tertumpu kepada usaha meneroka peluang pelaburan serta kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, halal, pendidikan, pertahanan, pelancongan dan sumber manusia.

Terdahulu, Anwar turut menerima kunjungan hormat Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan.

Pada pertemuan yang berlangsung kira-kira setengah jam itu, kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pandangan mengenai isu geopolitik semasa di Asia Barat dan kekejaman Israel di Gaza.

Turut dibincang kerjasama dua hala Malaysia dan Turkiye terutama dalam bidang pelaburan, perdagangan, pertahanan serta pendidikan.

Mesyuarat khas WEF, yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, adalah bertemakan 'Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan' serta dihadiri lebih 1,000 peserta termasuk ketua-ketua negara dan kerajaan selain pemimpin perniagaan dan industri.

Anwar, menerusi hantaran di laman Facebook mengenai kunjungan hormat Hakan, memaklumkan bahawa perbincangan hampir 30 minit itu menyentuh perihal kepentingan kedua-dua negara dan isu kemanusiaan yang semakin memburuk di Palestin.

“Saya nyatakan penghargaan atas usaha Turkiye yang tanpa henti membantu warga Palestin dan menjadi penyumbang kedua terbesar menyalurkan bantuan ke Gaza.

"Malaysia terbuka untuk bekerjasama dengan Turkiye untuk meneruskan usaha mulia ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata mereka turut senada dalam hasrat terus memperkukuh jalinan persahabatan antara Malaysia dan Turkiye terutama menjelang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun ini.

Beliau berkata perbincangan itu turut menumpukan usaha meneroka potensi pelaburan serta perdagangan semasa dan baharu antaranya membabitkan minyak sawit, industri halal, aeroangkasa, kesihatan, ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan, pertahanan serta elektrik dan elektronik.

“Di akhir pertemuan, saya sekali lagi menyampaikan undangan buat Presiden (Recep Tayyip) Erdogan untuk berkunjung ke Malaysia sesegera mungkin,” katanya.

Mengulas lanjut pertemuan dengan Muhammad Shehbaz, Anwar berkata mereka menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dan perkongsian strategik Malaysia-Pakistan termasuk meningkatkan hubungan perdagangan kedua-dua negara yang kini bernilai US$1.4 bilion.

Beliau berkata pada pertemuan itu, mereka turut bersetuju mengadakan perbincangan lanjut mengenai usaha mengembangkan kerjasama dalam industri dan pensijilan halal antara kedua-dua negara khususnya menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pihak Berkuasa Halal Pakistan.

“Malaysia dan Pakistan juga berhasrat meneruskan lebih banyak kerjasama dalam bidang pendidikan, pertahanan, pelancongan dan sumber manusia.

“Perbincangan turut menyentuh kepengerusian ASEAN tahun depan. Malaysia menerusi ASEAN terbuka untuk meneroka ruang kerjasama ASEAN-Pakistan yang dapat memanfaatkan negara serantau,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan