JENAYAH & MAHKAMAH

AMANG SEKSUAL: INSPEKTOR POLIS AKAN DITAHAN KERJA

28/04/2024 03:09 PM

JOHOR BAHRU, 28 April (Bernama) -- Pegawai polis berpangkat inspektor yang ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada 22 April lepas akan dikenakan tindakan tahan kerja.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata tempoh reman lelaki berusia 29 tahun itu bermula 23 April lepas tamat hari ini dan dia akan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Suspek dalam proses tindakan tahan kerja dan surat tahan kerja akan diedar selepas mendapat arahan daripada Bukit Aman.

“Tindakan tahan kerja akan dikenakan sehingga mendapat keputusan kes di mahkamah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Lelaki terbabit ditahan di sekitar Seri Alam, di sini pada 22 April selepas laporan polis dibuat mangsa pada hari sama kejadian dipercayai berlaku di kawasan Taman Johor Jaya, di sini.

Beliau berkata lelaki itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan