JENAYAH & MAHKAMAH

348 DITAHAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN DADAH

26/04/2024 05:38 PM

KUANTAN, 26 April (Bernama) -- Polis menahan 348 individu termasuk 11 wanita dalam Ops Hawk yang dijalankan di seluruh negeri ini selama tiga hari bemula Selasa.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata suspek yang ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang melibatkan 140 anggota dan pegawai polis itu, berusia lingkungan 19 hingga 60 tahun.

"Dalam operasi berkenaan sebanyak 288 serbuan dengan 474 pemeriksaan telah dilaksanakan, selain 10 'port' atau sarang penagihan dadah di felda telah berjaya dilumpuhkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata turut ditahan seorang nelayan berusia 48 tahun yang diberkas sekitar 10 pagi di Sungai Belat, di sini, Selasa lepas.

Menurutnya suspek yang mempunyai 15 rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah itu dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan perairan Gambang di sini, selain hasil saringan awal urin mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

Polis turut merampas 1,710 pil yaba dianggarkan bernilai RM31,650 selain bot fiber dan kereta jenis Toyota Hilux, manakala suspek direman tujuh hari bermula Rabu lepas, katanya.

Yahaya memaklumkan sepanjang tiga hari operasi itu, polis juga telah merampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin, syabu dan ganja dengan nilai keseluruhan RM55,518 manakala sitaan kenderaan, barang kemas dan wang tunai bernilai RM211,280.

Sementara itu di Kuala Terengganu, polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah keseluruhan bernilai RM111,358 dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata penganggur berusia 34 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Berang di sini, 3 petang semalam dan polis menjumpai dadah disyaki jenis syabu dan pil yaba di dalam beg pinggang dipakai suspek.

“Penahanan tersebut telah membawa kepada serbuan kedua yang dibuat di bilik sewa suspek di Kampung Paloh Tuan Sulo di Kuala Terengganu. 

“Dalam serbuan yang dibuat pada 5.30 petang itu, polis menjumpai beberapa bungkusan dan peket plastik mengandungi dadah jenis syabu, heroin, pil yaba dan pil erimin serta ubat batuk. Kesemua dadah berkenaan dijumpai di atas lantai bilik tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata wang tunai bernilai RM800 dan sebuah kereta jenis Proton Wira turut disita.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan