AM

NAHAS HELIKOPTER: 1,000 WARGA PANGKALAN TLDM KOTA KINABALU SERTAI BACAAN YASSIN, TAHLIL

26/04/2024 05:05 PM

KOTA KINABALU, 26 April (Bernama) -- Timbalan Panglima Armada Timur Laksamana Pertama Mohd Norizal Fahruddin bersama kira-kira 1,000 warga Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu hari ini menyertai Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas buat anggota dan pegawai TLDM yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak.

Mereka memenuhi Masjid Ibnu Battuta di pangkalan itu seawal 12 tengah hari bagi mengerjakan ibadah antaranya membaca al-Quran dan solat sunat dhuha sebelum majlis bermula 12.40 tengah hari tadi.

Bacaan Yasin dan tahlil diketuai Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera Mej Mad Zakuan Burhan bagi mendoakan mereka yang terkorban dalam nahas tersebut, sebelum solat Jumaat dimulakan dengan Khutbah Khas Hari TLDM ke-90 dibacakan Pegawai Memerintah KD Selangor Kept Ahmad Rashidi Othman TLDM yang juga Pegawai Kanan Armada Timur.

Teks khutbah khas bertajuk “TLDM Perkasa Kedaulatan Terpelihara” adalah daripada khutbah disampaikan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob pada majlis sama yang diadakan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak hari ini.

Khutbah itu mengundang rasa sebak Ahmad Rashidi dan para hadirin di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu terutama pada bahagian "pergorbanan mereka semua tidak dapat dibalas dengan air mata," yang memperlihat bertapa besar pengorbanan 10 wira TLDM yang terkorban itu.

Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas itu diadakan sempena memperingati mangsa tragedi nahas Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan Fennec TLDM terhempas pada Selasa lepas yang  mengorbankan 10 anggota dan pegawai TLDM.

Empat pegawai Skuadron 503 dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu termasuk Pegawai Memerintahnya Komander Muhammad Firdaus Ramli antara yang terkorban dalam nahas itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan