SUKAN

PENYERTAAN CLAYTON TAMATKAN 'PEMBURUAN', PERKUAT PERAK FC - YUSRI

26/04/2024 04:39 PM

IPOH, 26 April (Bernama) -- Penyertaan penyerang import berasal dari Brazil, Clayton Da Silveria Da Silva diharap memperkuat Perak FC mengharungi Liga Super musim ini.

Ketua Jurulatih Perak FC Yusri Che Lah berkata penyerang berusia 29 tahun yang tiba di Ipoh semalam itu akan menjalani ujian perubatan sebelum memulakan latihan bersama rakan pasukan.

“Dia akan menjalani ujian perubatan hari ini dan harapan kita semua proses ini akan berjalan lancar dan dia dapat bersama dalam latihan penuh bersama rakan yang lain.

“Untuk mengetahui tentang mengapa kita tertarik untuk menandatangani pemain ini, saya fikir masing-masing (penyokong) boleh menilai keupayaannya selepas dia bersama pasukan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Pada 21 April lepas, Yusri dalam kenyataannya mahukan supaya penyerang import yang bakal mengetuai jentera serangan The Boss Gaurus segera menyesuaikan diri bagi menghadapi Terengganu FC pada perlawanan pertama liga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin 11 Mei ini.

Clayton Da Silveria, merupakan bekas pemain skuad bawah 23 tahun Brazil selain pernah mewakili kelab Hercilio Luz yang bermain dalam liga divisyen 4 Brazil pada 2023.

Yusri menjelaskan kemasukan Clayton Da Silveria itu juga menamatkan pemburuan Perak FC dalam mencari pemain-pemain baru bagi menguatkan pasukan.

“Skuad sedia ada telah lengkap dan kita akan fokus kepada latihan dan mencipta keserasian melalui strategi yang saya terapkan dan harapnya semua berjalan lancar,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan pasukan, jurulatih berasal dari Perlis itu berkata Perak akan mengadakan dua lagi perlawanan persahabatan menentang KDA FC esok dan Penang FC yang dijadual berlangsung pada 4 Mei ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan