AM

PERSIAPAN PUSAT PENAMAAN CALON PRK KUALA KUBU BAHARU CAPAI 90 PERATUS

26/04/2024 04:43 PM

HULU SELANGOR, 26 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini giat melakukan persiapan akhir bagi memastikan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu esok berjalan lancar.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Yuhanas Auree Kamaruddin berkata persiapan di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor yang dijadikan pusat penamaan calon, kini berada pada tahap 90 peratus.

“Insya-Allah kesemua petugas (pilihan raya) berada dalam keadaan bersedia dan persiapan pada hari ini pun hampir sempurna,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan bakal calon agar memastikan kesemua dokumen yang diperlukan lengkap bagi mengelakkan sebarang masalah ketika proses penyerahan borang pencalonan.  

"Saya juga ingin mengingatkan kepada penyokong yang hadir esok supaya mengikuti peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon,” katanya.

Pusat penamaan calon akan dibuka bermula 9 pagi dan ditutup sejam selepas itu.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser dan SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan