AM

MHB, SHIZEN INTERNATIONAL AKAN TEROKA PEMBANGUNAN PROJEK FOTOVOLTAN DI PERAK

26/04/2024 12:30 PM

IPOH, 26 April (Bernama) -- Majuperak Holdings Bhd (MHB) dengan kerjasama Shizen International Inc. (Shizen International) akan meneroka pembangunan projek fotovoltan solar di Perak yang bertujuan memperluas penggunaan tenaga bersih.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pembangunan projek ini berkemungkinan dilaksanakan di atas daratan dan kawasan air.

“Kerjasama ini berlandaskan dua matlamat iaitu meneroka pembangunan projek fotovoltan solar di atas darat dan menilai potensi kawasan air yang sesuai untuk projek fotovoltan terapung di Perak.

“Ini juga sejajar dengan kesungguhan Perak untuk membangunkan teknologi hijau dan usaha untuk menarik pelaburan menerusi Program Flagship 12: Sumber Air dan Sumber Tenaga Boleh Baharu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan MHB pada Jumaat.

Terdahulu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB Syed Agil Syed Hashim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Shizen International Rei Ushikubo.

Pemeteraian itu disaksikan oleh Saarani dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) merangkap Pengerusi Eksekutif MHB Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Saarani berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka serta mengalu-alukan kedatangan mana-mana syarikat dari dalam dan luar negara yang berminat melabur di Perak.

Sementara itu, Redza Rafiq berkata pihaknya menyambut baik kerjasama bersama Shizen International yang sememangnya berpengalaman luas dalam bidang itu di peringkat antarabangsa.

“Kami mengunjurkan kemajuan besar dicapai daripada MoU inj kerana kami bersedia sepenuhnya untuk menggiatkan penjanaan tenaga boleh baharu di Perak,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu juga sejajar dengan  Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang berusaha meningkatkan penjanaan tenaga lestari di negara ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan