AM

HWUM PILIH BERNAMA JADI RAKAN MEDIA STRATEGIK PROMOSI PENDIDIKAN BERTERASKAN MATLAMAT

26/04/2024 10:57 AM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Heriot-Watt University Malaysia (HWUM) menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai rakan media strategik untuk menyebarkan maklumat mengenai universiti itu dan pendidikan berteraskan matlamat.

Provos dan Ketua Pegawai Eksekutif HWUM Prof Mushtak Al-Atabi berkata universiti itu memilih Bernama sebagai rakan media strategik berikutan peranan pertubuhan itu sebagai agensi berita penting serta reputasi yang tinggi dalam integriti.

 "Bagi pihak HWUM, saya ingin memuji Bernama atas komitmen tidak berbelah bahagi dalam menyediakan liputan berita yang boleh dipercayai dan bermatlamat. Komitmen Bernama dalam menyampaikan berita yang bukan sahaja pantas dan tepat, tetapi juga adil dan seimbang amat dipuji.

"Agensi berita berwibawa ini juga disokong oleh pasukan yang bersemangat didorong oleh matlamat dalam memberikan impak positif kepada dunia," katanya selepas melawat Ibu Pejabat Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata HWUM berharap dapat mengukuhkan hubungan lebih erat dengan agensi berita berkenaan untuk mendapatkan pemahaman lebih baik mengenai fokus editorial, bidang yang diminati serta rangkaian produk dan perkhidmatan.

"Kami teruja dengan prospek meneroka peluang kerjasama yang berpotensi. Hal ini termasuk memanfaatkan kepakaran profesional akademik kami menerusi temu bual, berita rencana, penyelidikan dan kolaborasi inovatif yang lain.

"Bersama-sama, kami yakin dapat menjalin perkongsian bermakna dan saling menguntungkan yang akan memperkaya kedua-dua institusi dan menyumbang secara positif kepada usaha pembangunan negara dan komuniti buat Malaysia dan seterusnya," katanya.

Ditubuhkan pada 2012, HWUM ialah kampus hijau pertama di Malaysia yang terletak di Putrajaya. Selaras dengan pendekatan Purpose-Driven Education, universiti itu menyediakan program berkelas dunia bertujuan memupuk pemimpin yang didorong matlamat masa depan.

Program berkenaan juga melangkaui kecemerlangan akademik, melengkapkan pelajar dengan kecekapan yang diperlukan untuk memberi impak positif kepada dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan