AM

Slpr Worldwide Beli Saham Dalam Grim Film, Wujud Penanda Aras Baharu Cipta Kandungan

25/04/2024 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- SLPR Worldwide, antara agensi perhubungan awam bersepadu terkemuka di Malaysia, membeli saham yang signifikan dalam Grim Film, syarikat pengeluar kandungan dan filem terkenal dengan penceritaan dan keunggulan sinematik.

SLPR Worldwide dalam kenyataan memaklumkan pelaburan strategik ini akan meningkatkan tawaran, khususnya dalam bidang kempen perhubungan awam bersepadu yang seiring dengan matlamatnya untuk memberi impak dan penglibatan yang lebih besar dalam kempen bagi pelanggannya.

Dengan memanfaatkan kepakaran penerbitan kandungan kreatif Grim Film, SLPR Worldwide akan menawarkan kandungan naratif dan visual yang diperkaya, meningkatkan strategi kempen dan memberikan hasil yang dapat diukur untuk pelanggan dan pihak berkepentingan.

Rakan kongsi kanan dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SLPR Worldwide Leon Tang menekankan kepentingan pembelian berkenaan, menegaskan sifat progresif perkongsian itu.

"Menggabungkan kepakaran Grim Film dengan keupayaan sedia ada kami, membolehkan SLPR Worldwide menawarkan kempen perhubungan awam yang komprehensif dan berkesan. Hal ini merupakan langkah strategik untuk meningkatkan nilai pegangan saham melalui perkhidmatan inovatif dan kecekapan operasi," katanya.

Selain pembelian strategik ini, SLPR Worldwide mengesahkan komitmen terhadap inovasi melalui pelaburan RM15.5 juta dalam penerbitan video berteknologi maju dalam tempoh lima tahun akan datang.

Agensi itu menyatakan bahawa inisiatif ini akan merevolusikan pengeluaran kandungan dengan mengoptimumkan kos dan penambahbaikan kualiti sambil meningkatkan kelajuan dan kecekapan penyiaran kandungan dalam kempen bersepadu.

Sementara itu, Pengasas Grim Film Jared Lee dalam kenyataan sama percaya kerjasama ini mewakili langkah seterusnya dalam evolusi syarikat itu sejak penubuhannya pada 2011.

"Bersama-sama, saya percaya kita dapat menyediakan jenama dengan penyelesaian lengkap, filem bukan sekadar dihasilkan, tetapi juga dioptimumkan sepenuhnya untuk memberi kesan kepada penonton sasaran. Melalui penggabungan keupayaan naratif Grim Film dengan kepakaran SLPR dalam kempen perhubungan awam yang berkesan, kami menetapkan standard baharu untuk komunikasi jenama.

"Kerjasama ini bertujuan memberikan nilai tiada tandingan kepada pelanggan, mengubah cerita mereka kepada naratif menarik yang memikat penonton merentas pelbagai platform," katanya.

SLPR Worldwide Group, peneraju dalam transformasi persepsi omnichannel untuk era digital telah memainkan peranan penting dalam membangunkan, berkembang dan mewujudkan reputasi jenama untuk syarikat multinasional di seluruh rantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan