AM

PTSP KE-3 MENANG ANUGERAH PROJEK TERBAIK SPAN

25/04/2024 04:32 PM

GEORGE TOWN, 25 April (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerima anugerah projek terbaik bagi Projek Saluran Paip Dasar Laut Berkembar Ketiga (PTSP ke-3) bernilai RM114.3 juta dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ketua Pegawai Eksekutifnya K. Pathmanathan berkata pengiktirafan itu merupakan anugerah pertama seumpamanya yang diberikan oleh SPAN meliputi projek bekalan air utama yang disiapkan oleh operator air Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk tempoh pandemik COVID-19 iaitu dari 2020 hingga 2022.

"Projek PTSP ke-3 diusahakan oleh PBAPP sebagai respons kepada permintaan air yang tinggi di Pulau Pinang ketika tempoh perubahan iklim dan ia direka terutamanya untuk menyalurkan sehingga 315 juta liter air terawat sehari  (JLH) dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai ke Kompleks Rumah Pam dan Kolam Air Bukit Dumbar di bahagian pulau.

"315 JLH merujuk kepada isipadu air yang boleh mengisi 210 juta botol air minuman besar iaitu 1.5 liter atau 126 kolam renang bersaiz Olimpik setiap hari dan PTSP ke-3 memberi manfaat kepada kira-kira 465,000 pengguna air di daerah Barat Daya dalam kawasan perkhidmatan yang merangkumi dari Bukit Dumbar ke Balik Pulau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata projek PTSP ke-3 mengambil masa empat tahun untuk disiapkan bermula Oktober 2016 dan pengoperasian pada November 2020.

Menurut Pathmanathan, elemen utama projek itu adalah di dasar laut dan berbeza dengan projek infrastruktur bekalan air utama yang lain kerana sebahagian besarnya “tidak kelihatan”.

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Makan Malam Persatuan Air Malaysia (MWA) 2024 di ibu negara pada Selasa lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan