AM

TOURISM PERAK ANJUR SEMINAR PELANCONGAN SEMPENA TMP 2024 DI JEPUN

25/04/2024 01:15 AM

IPOH, 24 April (Bernama) -- Seminar Pelancongan bersempena dengan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 yang diadakan di Osaka, Jepun semalam, bertujuan meneroka pasaran baharu di wilayah itu dengan keistimewaan Perak yang kaya dengan produk ekopelancongan, warisan dan budaya serta gastronomi.

Tourism Perak dalam kenyataan memaklumkan seminar yang berlangsung semasa program Misi Pelaburan Menteri Besar Perak ke Jepun itu diharap dapat mencapai hasrat kerajaan negeri menarik lapan juta pelancong ke Perak pada TMP 2024.

"Antara produk pelancongan yang berpotensi menarik minat pelancong Jepun adalah seperti Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Tasik Cermin, Royal Belum, Lenggong Geopark, Kinta Geopark dan banyak lagi," menurut kenyataan itu hari ini.

Kunjungan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad ke Osaka yang mempunyai kepadatan penduduk sebanyak 19 juta orang itu, bermula pada 23 hingga 27 April ini bertujuan mempromosikan sektor pelancongan dengan lebih agresif ke pasaran baharu di Jepun selaras dengan kempen TMP 2024.

Menurut kenyataan itu, seminar yang mendapat kerjasama daripada Tourism Malaysia Osaka itu dihadiri 70 peserta terdiri daripada pemain industri pelancongan dan media di Osaka.

Sementara itu, Tourism Perak juga telah melancarkan "Perak Guide Book" mengandungi 68 muka surat informasi berkenaan produk pelancongan negeri Perak dan video rasmi TMP 2024 berdurasi 4 minit 43 saat dalam versi bahasa Jepun. 

"Bahan promosi ini akan diedarkan ke semua lokasi yang bersesuaian di sekitar Jepun seperti Pejabat Tourism Malaysia Osaka, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Osaka, Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, hotel, resort serta pejabat agensi pelancongan di sekitar Osaka.

"Tourism Perak menjalinkan hubungan strategik bersama sebuah syarikat multinasional Jepun iaitu Canon yang merupakan pakar dalam bidang penghasilan barangan pengimejan dan optik bagi merancakkan lagi TMP 2024," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan