EKONOMI

SABAH PORTS, DP WORLD BEKERJASAMA TINGKAT KEDUDUKAN SABAH SEBAGAI HAB PEMINDAHAN KAPAL

25/04/2024 11:58 AM

KOTA KINABALU, 24 April (Bernama) -- Kerjasama strategik Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) dengan DP World, pengendali terminal pelabuhan global, akan membantu aspirasi Sabah untuk mempromosikan Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) sebagai hab pemindahan kapal utama di rantau ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata dalam jangka panjang, visinya adalah untuk menambah baik ketersambungan bahagian darat dan laut di seluruh negeri, sekali gus mengurangkan kos dan masa transit selain meningkatkan standard merentas keseluruhan rantaian bekalan negeri.

“Saya gembira kerana DP World telah memilih Sabah untuk mengembangkan perniagaannya, dan saya mempelawa syarikat itu untuk melihat kawasan-kawasan ekonomi berpotensi lain di Sabah,” kata Hajiji dalam satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DP World yang berpangkalan di Dubai, Sultan Ahmed Sulayem di luar persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Sementara itu, Sultan Ahmed berkata DP World telah mengadakan rundingan untuk menjalin kerjasama perniagaan dengan SPSB.

“Sabah adalah sebuah negeri yang indah dan terletak secara strategik untuk menjadi hab logistik di rantau ini,” katanya sambil menambah DP World telah memilih Sabah kerana kestabilannya, yang mana ia kondusif untuk pelaburan.

Sultan Ahmed berkata, beliau akan melakukan yang terbaik untuk menggunakan kelebihan syarikatnya yang tersenarai dalam Fortune 500 bagi membawa perniagaan ke negeri ini.

SPSB adalah anak syarikat milik penuh Suria Capital Holdings Bhd, yang mana kerajaan negeri Sabah merupakan pemegang saham majoriti. Ia mengendalikan lapan terminal, iaitu SBCP, Terminal Minyak Teluk Sapangar, Pelabuhan Kota Kinabalu, Pelabuhan Kudat, Pelabuhan Sandakan, Pelabuhan Lahad Datu dan Pelabuhan Kunak.

Kerajaan negeri memberi kelulusan kerjasama dengan DP World untuk operasi dan pengurusan SBCP pada 4 Jan tahun lepas.

DP World mempunyai rangkaian lebih dari 60 pelabuhan dan terminal dengan kapasiti untuk mengendalikan lebih 90 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) setahun di seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan