AM

Suasana Pilu Sambut Jenazah Allahyarham Mohammad Amirulfaris

24/04/2024 11:36 PM

SEREMBAN, 24 April (Bernama) -- Suasana hiba dan sayu menyelubungi kediaman keluarga sebaik sahaja van yang membawa jenazah Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi tiba kira-kira 9.05 malam ini.

Jenazah Allahyarham Mohammad Amirulfaris yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak semalam, dibawa oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) lengkap berpakaian istiadat ke kediaman bagi penghormatan terakhir ahli keluarga.

Waris termasuk ibu, bapa dan isteri serta dua anak Allahyarham dilihat tidak dapat menahan kesedihan mengiringi perjalanan terakhir Mohammad Amirulfaris.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid At-Taufiqiah Kariah Taman Pinggiran Senawang pada 9.30 malam untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan. 

Turut serta dalam solat jenazah ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, kira-kira 11 malam ini dan bacaan talkin disempurnakan oleh Pegawai Staf Agama Markas Tentera Laut Mejar Lukman Hakim Abd Wahab.

Mohammad Amirulfaris meninggalkan seorang balu, Siti Aisyah Mohd Roslan, 34, dan dua anak iaitu Umar Fayyadh, 7, dan Ammar Affan, 2.

Tragedi pada 9.32 pagi semalam yang membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6) semasa Latihan Lintas Hormat bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 itu, mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan