AM

JENAZAH JURUTERBANG TLDM WAN REZAUDEEN KAMAL SELAMAT DIKEBUMI

24/04/2024 11:11 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Jenazah juruterbang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, 37, selamat dikebumikan pada kira-kira 10 malam di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Muda di sini.

Beliau adalah antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada kira-kira 9.32 pagi semalam.

Sebaik van jenazah tiba di tanah perkuburan, jenazah Wan Rezaudeen Kamal diusung oleh sembilan pegawai dan diiringi oleh 14 anggota Tim Kawalan Jenazah dalam istiadat pengebumian mengikut tradisi TLDM.

Suasana hiba menyelubungi upacara pengebumian jenazah Wan Rezaudeen Kamal ketika Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan Bendera Ensign (Panji-Panji TLDM) kepada isteri Allahyarham, Alia Amalina Md Noor.

Talkin dibacakan oleh Pegawai Agama KD Sultan Abdul Aziz Shah Mejar Aswad Abd Rahman.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain serta kira-kira 200 individu terdiri daripada ahli keluarga dan rakan Arwah.

Terdahulu, van yang membawa jenazah Wan Rezaudeen Kamal tiba di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati di sini pada kira-kira 8.20 malam untuk disolatkan buat kali kedua dengan dihadiri ahli keluarga, rakan dan orang ramai sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah.

Sebelum itu, jenazah Wan Rezaudeen Kamal bersama tujuh lagi dibawa ke Kem Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh untuk disolat dan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi TLDM.

Dua lagi jasad mangsa yang terkorban dalam tragedi sama dibawa ke kediaman masing-masing di Sitiawan, Perak dan Kuching, Sarawak.

Tragedi pada 9.32 pagi semalam menyaksikan 10 anggota dan pegawai TLDM yang terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan