AM

Nahas Helikopter: Muhammad Firdaus Selamat Dikebumikan

24/04/2024 11:00 PM

GEORGE TOWN, 24 April (Bernama) -- Jenazah Pegawai Memerintah Skuadron 503 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Komander Muhammad Firdaus Ramli, yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Lumut, Perak semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini malam ini.

Kenderaan membawa jenazah tiba pada 7.41 malam dengan kira-kira 1,000 orang termasuk ahli keluarga, rakan-rakan dan orang ramai menunggu di masjid berkenaan sejak 5 petang bagi memberi penghormatan terakhir. 

Solat jenazah diimamkan oleh imam masjid Ustaz Harun Mahyudin selepas solat maghrib sebelum keranda yang ditutupi dengan Jalur Gemilang diusung oleh pegawai penghormatan tentera ke tanah perkuburan mengikut istiadat pengebumian ketenteraan. 

Jenazah Muhammad Firdaus kemudian diberi tabik hormat oleh pegawai dan anggota tentera sebagai penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam di masjid tersebut.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayub yang turut hadir, kemudian menyampaikan Jalur Gemilang berkenaan kepada isteri Allahyarham, Soffiyah Sa'adon pada penghujung istiadat pengebumian yang selesai sepenuhnya pada 8.50 malam.

Suasana pilu dan hiba menyelubungi tanah perkuburan dengan kehadiran ahli keluarga, sanak saudara dan rakan setugas Allahyarham yang mengiringi perjalanan terakhir wira negara itu, malah ibu bapa Muhammad Firdaus dilihat terpaksa dipapah kerana terlampau sedih.

Isteri Allahyarham dan anak lelaki mereka berusia empat tahun serta ibu bapa dan ahli keluarga turut mengambil peluang mencium keranda Muhammad Firdaus sebagai penghormatan terakhir.

Turut kelihatan Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Azhan Md Othman, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak Fahmi Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang.

Sementara itu, bapa Muhammad Firdaus, Ramli Abd Hamid, 60-an berkata dia mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang banyak membantu menguruskan dari awal hingga selesai pengebumian Allahyarham.

"Terima kasih kepada semua pihak yang sayangkan anak saya, dia wira negara dan wira anak-anak Sungai Nibong," katanya.

Terdahulu, jenazah Muhammad Firdaus dan tujuh lagi mangsa nahas helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut semalam, disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Ipoh, Perak, kira-kira 6 petang tadi selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan