AM

LEBIH 400 KES DIFAILKAN DI MAHKAMAH TERHADAP KERAJAAN SABAH

24/04/2024 10:13 PM

KOTA KINABALU, 24 April (Bernama) -- Sebanyak 491 kes telah difailkan di mahkamah terhadap kerajaan Sabah sejak 2019 hingga tahun lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata daripada jumlah itu sebanyak 110 kes dimenangi oleh kerajaan negeri termasuk kes yang telah dibuang dan diketepikan oleh mahkamah, manakala tiga kes lagi berkeputusan kalah.

"Sebanyak 378 kes pula adalah kategori kes kerajaan negeri mematuhi perintah mahkamah, kes digugurkan oleh mahkamah, perintah persetujuan dan kes-kes yang masih berjalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin atas ucapan dasar kerajaan negeri.

Hajiji berkata kebanyakan kes yang diterima adalah kes terhadap Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Beliau berkata dalam tempoh sama sebanyak 221 kes difailkan terhadap JTU  yang kebanyakannya melibatkan pengambilan tanah bagi tujuan projek Lebuhraya Pan Borneo serta pembangunan tanah oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menurutnya bagi kes terhadap JANS pula kebanyakannya melibatkan kerja-kerja yang telah dilaksanakan namun pembayaran tidak dapat dibuat disebabkan dokumen tidak lengkap untuk tujuan pembayaran.

Hajiji berkata perkara itu berlaku apabila dokumen tersebut disita pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan siasatan kes JANS hingga menyebabkan pembayaran kepada kontraktor tidak dapat dilaksanakan.

"Sebanyak 120 kes JANS telah diterima melibatkan jumlah tuntutan sebanyak RM14.72 juta, bagaimanapun dimaklumkan bahawa kesemua kes ini telah berjaya diselesaikan dan dibayar," katanya.

Usul ucapan terima masih itu kemudian diluluskan dengan suara terbanyak dan Speaker DUN Sabah Datuk M Kadzim Yahya menangguhkan persidangan ke hari esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan