EKONOMI

AXIS-REIT JUAL HARTANAH DI JOHOR PADA RM162 JUTA

24/04/2024 09:44 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) menjual hartanahnya di Nusajaya, Johor pada RM162 juta secara tunai kepada sebuah pengendali pusat data.

Menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, Axis-REIT menjelaskan pihaknya tidak boleh mendedahkan identiti pembeli susulan klausa kerahsiaan dalam perjanjian jual beli itu.

“Axis-REIT akan memberikan butiran pembeli apabila cadangan penjualan itu selesai yang dijangka dimuktamadkan pada separuh kedua 2024,” jelasnya.

Hartanah perindustrian itu, yang meliputi kawasan seluas 10.91 hektar, akan dijual tanpa bebanan tetapi tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan dalam perjanjian yang ditandatangani antara RHB Trustees Bhd sebagai pemegang amanah bagi Axis-REIT dan pembeli, tambahnya.

Menurut Axis-REIT transaksi itu sejajar dengan objektif pelaburan dana, dengan pengurus percaya bahawa hartanah yang dimiliki selama sembilan tahun itu telah memaksimumkan potensi penjanaan pendapatannya.

Selain itu, terdapat potensi terhad untuk pertumbuhan sewa masa depan berdasarkan kapasiti semasanya sebagai kemudahan pembuatan, tambahnya.

“Memandangkan harga jualan aset yang menggalakkan ini dan memanfaatkan penggunaan terbaik dan tertinggi hartanah itu sebagai pembangunan pusat data, inilah masa yang sesuai untuk menjual dan menggunakan semula modal ke arah hartanah yang berpotensi menjana hasil,” katanya.

Axis-REIT juga menekankan bahawa jangkaan keuntungan bersih daripada cadangan penjualan itu ialah kira-kira RM500,000 juta dan tidak akan memberi kesan ketara kepada keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024.

“Hasil bersih daripada cadangan penjualan itu selepas ditolak semua fi dan perbelanjaan berkaitan akan digunakan untuk membayar balik pembiayaan sedia ada.

“Hasil ini dijangka digunakan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh penyelesaian," katanya.

Cadangan penjualan itu dijangka mengurangkan nisbah pembiayaan Axis-REIT kepada 31.94 peratus daripada jumlah aset yang diaudit setakat 31 Dis, 2023, jelasnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan