AM

KERAJAAN SALUR BANTUAN AWAL RM10,000 KEPADA KELUARGA MANGSA NAHAS HELIKOPTER TLDM

24/04/2024 08:35 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 nyawa semalam. 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, bertujuan meringankan beban keluarga terlibat. 

"Kementerian Pertahanan juga telah menubuhkan Tabung Khas bagi memudahkan orang ramai untuk turut menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Mohamed Khaled berkata segala kos perjalanan terakhir mangsa yang meliputi penerbangan ihsan dan pengurusan jenazah ditanggung sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau berkata Lembaga Siasatan yang ditubuhkan juga telah diarahkan untuk menyerahkan laporan awal dalam tempoh 14 hari bekerja, manakala laporan penuh dalam tempoh 30 hari bekerja.

Mesyuarat Jemaah Menteri, menurut beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada waris mangsa. 

"Kerajaan turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan 10 wira negara yang mencurah bakti sehingga akhir hayat mereka," katanya. 

Dalam tragedi 9.32 pagi semalam, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan