EKONOMI

Mesyuarat Bersama Pelabur Di London Bagi Rangsang Pelaburan Strategik Dalam Teknologi Penting

24/04/2024 06:44 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Pertemuan Malaysia bersama 70 pelabur dana kewangan dan ahli korporat dalam Mesyuarat Bersama Pelabur di London, United Kingdom telah menyentuh mengenai tindakan segera Kerajaan MADANI untuk merangsang pelaburan strategik dalam teknologi penting.

Menurut Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini, perkara itu telah dinyatakan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tersebut selama tiga hari dari 20 April lepas.

Amir Hamzah berkata Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tindakan bersepadu untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan di rantau ini.

Antara tindakan segera kerajaan untuk merangsang pelaburan strategik dalam teknologi penting ialah penubuhan Jawatankuasa Strategik Semikonduktor Nasional (NSSTF) untuk memudahkan kerjasama antara kerajaan, pemain industri, universiti dan pihak berkepentingan untuk menempatkan industri semikonduktor Malaysia di barisan hadapan.

Selain itu, mengupayakan Malaysia sebagai destinasi pelaburan hijau pilihan serta menghapuskan halangan dan birokrasi dalam penyediaan dan aksesibiliti kepada tenaga boleh baharu terutamanya bagi industri teknologi baharu, termasuk pusat data.

Amir Hamzah berkata prospek pelaburan negara telah mencapai tahap yang luar biasa dengan pelaburan yang diluluskan melonjak kepada RM329.5 bilion pada 2023 berbanding RM268 bilion pada 2022.

Beliau berkata sebanyak 74 peratus projek pembuatan yang diluluskan antara 2021 dan 2023 sudah selesai atau dalam proses.

Selain itu, katanya nilai besar kerja pembinaan peringkat awal yang selesai pada 2023 (RM31.5 bilion) dan 2022 (RM26.3 bilion) menunjukkan trend positif untuk peluang pelaburan pada masa depan.

“Daripada jumlah keseluruhan 5,101 projek pelaburan yang diluluskan pada 2023, sebanyak 81.2 peratus atau 4,143 projek adalah dalam sektor perkhidmatan, 883 projek dalam sektor pembuatan dan 75 projek dalam sektor utama,” katanya.

Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan amat serius untuk menjadikan pelaburan sebagai agenda nasional melalui penubuhan platform pemudahcaraan pelaburan di peringkat tinggi bagi memastikan pelaksanaan pelaburan strategik yang berpotensi dan diluluskan melalui pendekatan “Keseluruhan Kerajaan”.

Sebelum ini, Amir Hamzah telah mengadakan pertemuan dengan pelabur antarabangsa di New York dan Washington DC dengan tujuan menjelaskan hala tuju pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI bagi meningkatkan keyakinan pelabur terhadap tahap ekonomi Malaysia dan memperkukuh persepsi serta sentimen pelaburan pelabur asing terhadap Malaysia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan