JENAYAH & MAHKAMAH

PENGANGGUR TERLEPAS TALI GANTUNG, HUKUMAN MATI DIGANTI PENJARA 30 TAHUN DENGAN 12 SEBATAN

24/04/2024 06:07 PM

PUTRAJAYA, April 24 (Bernama) -- Seorang penganggur terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menggantikan hukuman mati terhadapnya dengan pemenjaraan selama 30 tahun bagi kesalahan membunuh seorang lelaki sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Sri Hasnah Mohammed Hashim turut memerintahkan B. Rames disebat sebanyak 12 kali.

Tengku Maimun juga mengarahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 12 Jun 2016.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa memaklumkan mahkamah bahawa berdasarkan fakta dan keadaan kes itu, pendakwaan bersetuju hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Rames diganti dengan pemenjaraan.

Rames, 48, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 29 Okt 2018 selepas didapati bersalah membunuh Mohd Harris Saravanan Abdullah, 36, antara 4 petang 9 Mac 2015 dan 10 pagi hari berikutnya.

Rames dituduh melakukan kesalahan itu dengan empat lagi yang masih bebas di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Melayu Seelong Selatan, Jalan Seelong-Ulu Tiram, Senai dalam daerah Kulaijaya, Johor.

Pada 9 Nov 2022, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rames dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadapnya.

Mengikut fakta kes, si mati dan abang iparnya telah ke ladang itu untuk mendapatkan bekalan dadah dan abang ipar si mati kemudian melihat Rames bertengkar dengan mangsa serta nampak tertuduh mengambil parang sebelum menetak si mati pada bahagian perut dan tangan.

Seorang lagi saksi pendakwaan iaitu penagih dadah yang berada di lokasi kejadian turut memaklumkan mahkamah bahawa dia nampak Rames telah menjerut mangsa menggunakan seutas tali dan membungkus mayat serta barang-barang peribadi si mati dengan kain kanvas serta tilam angin sebelum meletakkannya di atas kereta sorong.

Dia berkata Rames kemudian mengarahkan empat individu untuk membawa kereta sorong itu keluar dari lokasi kejadian.

Pada prosiding hari ini, Rames diwakili peguam Bernard George.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan