AM

PENGUMUMAN PENTING BERKAITAN DNB ESOK - FAHMI

24/04/2024 04:49 PM

PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Beberapa perkembangan penting berkaitan Digital Nasional Bhd (DNB) termasuk pelantikan ahli lembaga pengarah dan hala tuju agensi berkenaan akan diumumkan esok, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet hari ini menegaskan tentang pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini.

"Antara dipersetujui Insya-Allah esok (Menteri Digital) Gobind Singh Deo akan berada di Pulau Pinang untuk acara bersama DNB dan beliau akan membuat beberapa pengumuman berkenaan dengan pelantikan ahli lembaga pengarah dan beberapa hala tuju DNB," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Fahmi berkata bagi mempercepatkan pelaksanaan penerimagunaan rangkaian 5G khusus bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta industri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memeterai perjanjian persefahaman dalam masa terdekat.

Beliau berkata perdana menteri juga memberi penegasan tentang manfaat daripada 5G bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada penerimagunaan serta pelaksanaan rangkaian itu untuk sektor industri dan PMKS.

DNB ialah syarikat tujuan khas ditubuhkan pada 2021 di bawah Kementerian Kewangan dan kini sebagai pemilik tunggal rangkaian spektrum 5G, malah akan beroperasi tidak lama lagi bersama rangkaian kedua yang masih belum dimuktamadkan.

Fahmi berkata lebih 35 peratus daripada keseluruhan pengguna telekomunikasi menempah pakej 5G setakat 17 April lepas, namun penerimagunaan oleh sektor industri dan PMKS perlu dirancakkan.

"Minggu depan, sekiranya semua berjalan lancar ada beberapa pengumuman tambahan mengenai pelaksanaan rangkaian 5G...ini akan memberi hala tuju jelas dan berkaitan dwirangkaian yang diumum sebelum ini. Dasar dwirangkaian diteruskan dan pengumuman susulan menjelang minggu depan," katanya.

Selain itu, beliau berkata Jemaah Menteri juga dimaklumkan tentang kejayaan Sidang Kemuncak KL20 2024 yang berlangsung pada 22 hingga 23 April lepas dengan beberapa pengumuman signifikan.

Selain maklum balas positif tentang format KL20 yang dilihat bertepatan dan bersesuaian, Fahmi berkata perdana menteri mahu beberapa perkara diutamakan dan dipercepatkan khusus berkaitan isu kecerdasan buatan (AI) dan sektor semikonduktor.

Beliau berkata perdana menteri juga menegaskan acara KL20 bakal mendatangkan dampak positif kepada masa depan industri dan ekonomi Malaysia dengan beberapa tindakan susulan akan diumumkan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan