POLITIK

Kerjasama Baik Kerajaan Negeri, Pusat Jamin Ekonomi Terengganu

24/04/2024 03:44 PM

KUALA TERENGGANU, 24 April (Bernama) -- Pendekatan strategik untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam perancangan kewangan dan struktur ekonomi Terengganu adalah penting untuk diperhalusi. 

Azmi Maarof (PAS-Langkap) berkata ia telah dibuktikan dalam penggal pemerintahan sebelum ini yang menyaksikan bukan sedikit kejayaan dicapai Terengganu hasil pendekatan kerjasama erat itu. 

"Saya amat yakin Menteri Besar (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) dengan segala diplomasi dan cara sedang serta akan berterusan menjalinkan kerjasama antara kedua-dua pihak," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Tuanku Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. 

Sementara itu, Zaharuddin Zahid (PAS-Bukit Tunggal) berkata fokus utama parti apabila diberi mandat menjadi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri ialah mentadbir dan memacu negara secara bersama ke tahap lebih tinggi.

"Sebagaimana titah Tuanku Sultan, baginda mahukan adanya jalinan kerjasama kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan dalam mencapai nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara 3.5 hingga 4.1 peratus.

"Apa yang perlu ditekankan ialah mesti ada perasaan hormat antara kerajaan negeri dan Pusat semasa berhubungan dalam usaha memajukan negeri dan negara mengikut kuasa serta had masing-masing," katanya. 

Pada Isnin lepas, Sultan Mizan sewaktu bertitah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua DUN Terengganu Ke-15 menyarankan kerajaan negeri mengambil pendekatan komprehensif dalam merancang pengurusan kewangan yang efektif, antaranya memperkasa jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Baginda bertitah melalui jalinan kerjasama itu, kerajaan negeri perlu menyusun strategi jangka pendek, sederhana dan panjang secara komprehensif bersama jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan di negeri ini.

Titah baginda, ia merangkumi perancangan cadangan projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang akan berakhir pada 2025 dan diteruskan bagi RMK-13 yang akan bermula pada 2026.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan