DUNIA

ASIA RANTAU PALING BANYAK DILANDA BENCANA DI DUNIA, KATA AGENSI METEREOLOGI PBB

24/04/2024 01:14 AM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Asia merupakan rantau yang paling banyak dilanda bencana oleh cuaca, iklim dan bahaya berkaitan air di dunia tahun lepas, menurut laporan terkini daripada Pertubuhan  Meteorologi Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (MWO).

Dalam laporan “Keadaan Iklim di Asia 2023” yang diterbitkan pada Selasa, WMO berkata ribut dan banjir mengakibatkan angka korban dan kerugian ekonomi tertinggi yang dilaporkan sementara kesan gelombang haba menjadi lebih teruk.

“Dalam 2023, sejumlah 79 bencana yang berkaitan bahaya peristiwa hidro-meteorologi dilaporkan di Asia menurut Pangkalan Data Peristiwa Kemalangan.  

Daripada itu, lebih 80 peratus adalah berkaitan banjir dan ribut dengan lebih daripada 2,000 kematian dan sembilan juta orang terkesan secara langsung,” kata laporan itu.

Laporan itu berkata Asia memanas dengan lebih pantas daripada purata global dan trend itu meningkat hampir dua kali ganda sejak tempoh 1961 hingga 1990.

“Banyak bahagian di Asia mengalami kepanasan yang ekstrem dalam 2023. Jepun mengalami musim panas yang paling panas direkodkan sementara China mengalami 14 peristiwa suhu tinggi dalam musim panas, dengan kira-kira 70 peratus stesen meteorologi mencatatkan suhu melebihi 40 darjah Celcius dan 16 stesen memecahkan rekod  suhu yang dicatatkan,” katanya. 

Sementara itu, Setiausaha Agung WMO Celeste Saulo  berkata banyak negara di rantau ini mengalami tahun terpanas yang direkodkan pada 2023, selain daripada keadaan ekstrem yang bertalu-talu dari kemarau dan gelombang haba kepada ribut dan banjir.

“Perubahan iklim memburukkan lagi  kekerapan dan keterukan peristiwa itu,  memberi kesan kepada masyarakat, ekonomi dan paling penting kehidupan manusia dan persekitaran tempat tinggal kita,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik (ESCAP)  Armida Salsiah Alisjahbana berkata laporan keadaan iklim di Asia 2023 adalah satu usaha untuk merapatkan jurang antara sains cuaca dengan risiko bencana menerusi cadangan dasar berdasarkan bukti.

“ESCAP dan WMO bekerja dalam perkongsian akan terus melabur dalam membesarkan cita-cita iklim dan memacu pelaksanaan dasar yang baik termasuk membawa amaran awal kepada semua rantau supaya tiada siapa yang ketinggalan kerana krisis perubahan iklim terus berkembang,” katanya. ESCAP merupakan rakan kongsi dalam penerbitan laporan ini.

Laporan ini, merupakan satu daripada siri laporan Keadaan Iklim Serantau WMO, dikeluarkan pada sesi Ke-80 suruhanjaya itu di Bangkok, Thailand.

Ia berdasarkan input daripada rakan kongsi  Perkhidmatan Meteorologi dan Hidrologi Nasional PBB dan sebuah rangkaian pakar iklim. Ia mencerminkan komitmen WMO untuk mengutamakan inisiatif serantau dan membuat keputusan berdasarkan maklumat. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan