AM

"AMIRULFARIS ORANG YANG BAIK, ORANG BAIK SELALU PERGI DULU" - BAPA SAUDARA

24/04/2024 06:00 PM

IPOH, 23 April (Bernama) -- "Amirulfaris orang yang baik, orang baik selalunya pergi dulu," itu kata Md Akhir Jamaludin, 55, mengenai anak saudaranya Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, 34, yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pagi tadi. 

Md Akhir berkata sebagai anak sulung daripada empat beradik, Mohamad Amirulfaris sangat menjaga kebajikan ibu bapanya dan seorang yang sangat peramah dengan saudara-mara. 

"Kali terakhir berjumpa tahun lepas, raya tahun ini pun tak dapat jumpa arwah sebab dia bertugas tapi dia ada bercerita akan menyertai pertunjukan udara (sempena Ulang Tahun TLDM ke-90)," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini malam ini. 

Menurutnya Mohamad Amirulfaris meninggalkan seorang balu dan dua anak berusia tujuh serta dua tahun. 

Md Akhir yang berasal dari Negeri Sembilan berkata anak saudaranya itu telah dua tahun bertugas di Sabah kerana dinaikkan pangkat. 

"Arwah masih muda, semua yang terkorban pun berusia bawah 40 tahun, mereka ini masih panjang khidmat untuk negara namun Allah lebih sayangkan mereka," katanya. 

Menurutnya Allahyarham akan dikebumikan di Senawang, Negeri Sembilan sebaik selesai proses bedah siasat. 

Md Akhir berkata semua ahli keluarga Allahyarham telah diterbangkan dari Sabah ke Perak bagi pengecaman jenazah. 

Mohamad Amirulfaris adalah antara 10 pegawai dan anggota TLDM yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut pada 9.32 pagi tadi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan