EKONOMI

HDC MAHU LEBIH BANYAK KERJASAMA HASILKAN BAHAN DIPERAKUI HALAL - PENGERUSI

23/04/2024 07:27 PM

PUTRAJAYA, 23 April (Bernama) -- Halal Development Corporation (HDC) berhasrat menumpukan kepada kerjasama untuk menghasilkan lebih banyak bahan yang diperakui halal dalam sektor makanan dan minuman, farmaseutikal dan kosmetik.

Pengerusinya Khairul Azwan Harun berkata negara berada pada kedudukan yang baik untuk melaksanakannya, terutama berasaskan minyak sawit dan derivatif.

“Malaysia menguasai kira-kira 40 peratus daripada industri minyak sawit dunia. Oleh itu, kita boleh menghasilkan banyak bahan berasaskan minyak sawit yang diperakui halal,” katanya kepada pemberita pada sesi temu mesra Forum Kepimpinan Ekonomi Halal (HELF) 2024 HDC di sini hari ini.

Menurutnya HDC optimis untuk mencapai eksport bernilai RM300 bilion menjelang 2030 dengan bantuan rakan kongsi strategiknya di Arab Saudi. HDC merekodkan hampir RM60 bilion nilai eksport pada tahun lepas.

“Ini sesuatu yang realistik dengan bantuan daripada rakan kongsi kami di Arab Saudi. Kami berharap perdagangan halal akan menyumbang 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata HDC akan membuka lebih banyak pasaran baharu untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau dengan memperkenalkannya sebagai hab logistik halal.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari menekankan tanggungjawab yang lebih besar di hadapan adalah untuk menambah bilangan syarikat tempatan yang diperakui halal.

“Kita perlu menambahkan usaha untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan syarikat diperakui halal untuk memasuki pasaran halal global US$3 trilion, yang dijangka menokok kepada US$5 trilion menjelang 2030.

“Saiz ekonomi halal Malaysia pada masa ini berjumlah kira-kira RM70 bilion dan kepada RM113 bilion menjelang 2030. Ia adalah pasaran yang besar,” katanya.

Hairol berkata Arab Saudi dan Malaysia akan mempunyai akses kepada 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam melalui Bank Pembangunan Islam (IsDB).

“Kami akan menjadi rakan kongsi strategik terbesar sehingga kepada pembangunan ekonomi halal," katanya.

HDC akan menganjurkan HELF 2024 untuk memperluas kedudukan globalnya susulan hasil positif daripada Pusingan Persidangan Perniagaan Halal Sedunia tahun lepas di London.

Dengan tema "Mengemudi Peluang Masa Hadapan, Memanfaatkan Inovasi," forum yang julung kali diadakan itu dianjurkan bersama oleh IsDB dan Halal Products Development Company (HPDC) Arab Saudi. Forum ini diadakan selaras dengan Forum Sektor Swasta 2024 bank itu di Riyadh pada 30 April 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan