EKONOMI

MYSTARTUP SINGLE WINDOW DILANCAR, PLATFORM SEHENTI BERKAITAN SYARIKAT PEMULA NIAGA

23/04/2024 03:57 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Platform sehenti dalam talian yang meneraju perubahan untuk syarikat pemula niaga (startup), Single Window for the Startup Ecosystem (MYStartup) dilancarkan pada Sidang Kemuncak KL20 2024 di sini hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dalam ucapan bersempena dengan pelancaran MYStartup itu berkata plaform berkenaan dibangunkan sebagai asas untuk persekitaran perniagaan yang lancar bagi semua perkara berkaitan syarikat pemula niaga di Malaysia.

Beliau berkata ia mempunyai pelbagai ciri dan perkhidmatan untuk syarikat berkenaan mengakses sumber, bimbingan, pembiayaan dan sokongan kawal selia, sekali gus memperkasakan usahawan generasi akan datang untuk berkembang dan berjaya.

"MYStartup menyasarkan untuk menyatukan pengasas, pelabur, bakat teknologi, agensi kerajaan dan pemain ekosistem sambil menawarkan data, pandangan dan sumber yang komprehensif untuk memulakan dan mengukuhkan perniagaan, mengemudi pilihan pembiayaan dan mendapatkan perkhidmatan sokongan penting dalam ekosistem syarikat pemula niaga di Malaysia.

"Jika anda sebuah syarikat pemula dan tidak tahu di mana untuk mencari pembiaya atau pembiayaan, anda boleh ke laman web, daftar dan maklumkan jenis syarikat anda. Laman web itu akan membawa anda ke agensi pembiayaan berkaitan atau jika anda bakat teknologi yang mencari pekerjaan (dengan syarikat pemula), anda juga boleh mencari pekerjaan bersesuaian," katanya.

Chang berkata lebih mengagumkan, MYStartup yang dikuasakan oleh Cradle Funds dilengkapi dengan kecerdasan buatan (AI) yang dapat menjawab persoalan dan memberikan pandangan tentang memulakan perniagaan di Malaysia, secara langsung kepada pengguna.

"Cradle Funds juga menerajui Pelan Hala Tuju Ekosistem Syarikat Pemula Malaysia (SUPER) 2021 – 2030, yang menekankan kepentingan persekitaran syarikat pemula niaga yang mampan dan inklusif untuk merangsang ekonomi yang kukuh dengan memberikan peluang kepada semua mendapatkan akses kepada pengetahuan keusahawanan, hubungan dengan syarikat korporat, pelabur dan badan kerajaan," katanya.

MYStartup ditubuhkan pada 2021 untuk memelihara ekosistem syarikat pemula niaga negara melalui program pembangunan kapasiti yang menghubungkan syarikat pemula, pelabur dan bakat teknologi menerusi portalnya.

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai ekosistem syarikat pemula niaga global 20 teratas menjelang 2030, melalui usaha mewujudkan persekitaran perniagaan yang lancar dan melahirkan 5,000 syarikat pemula baharu menjelang 2025 seperti yang digariskan dalam pelan hala tuju SUPER.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan