AM

HELIKOPTER TLDM TERHEMPAS: NEGARA BERDUKACITA, BERI KESAN KEPADA KELUARGA ATM - PM

23/04/2024 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Negara berdukacita dengan tragedi menyayat hati dan meruntun jiwa membabitkan insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut, Perak pagi ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata tragedi itu ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dan berdoa agar mereka diberi kekuatan dalam menghadapi musibah itu. 

“Saya dimaklumkan satu siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas.

“Mendoakan semoga roh semua yang terkorban dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa mereka. Semoga Tuhan mengasihi mereka dan memberi tempat dan kedudukan yang istimewa di sisi-Nya,” kata Anwar. 

TLDM mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam insiden pada 9.32 pagi tadi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Difahamkan insiden berlaku semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan pada awal bulan depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan