AM

HELIKOPTER TLDM TERHEMPAS: AGONG ZAHIR TAKZIAH, MAHU ATM JALANKAN SIASATAN TERPERINCI

23/04/2024 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut, Perak pagi ini. 

Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya berhubung kejadian itu.

“Saya dan Raja Zarith Sofiah berasa amat sedih di atas kehilangan wira-wira negara dalam tragedi ini. Al-Fatihah dan salam takziah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

“Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Sultan Ibrahim.

TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban dalam insiden pada 9.32 pagi tadi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Difahamkan insiden berlaku semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan pada awal bulan depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan