EKONOMI

Tiga Visi Jadi Teras Utama Lonjak Pencapaian Kumpulan Epic

23/04/2024 09:05 AM

KUALA TERENGGANU, 23 April (Bernama) -- Tiga visi menjadi teras utama untuk membawa syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (Kumpulan EPIC) ke peringkat lebih tinggi pada masa depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Muhtar Suhaili. 

Muhtar berkata beliau telah menggariskan tiga visi penting termasuk pembangunan modal insan, penilaian organisasi berasaskan prestasi syarikat dan ke arah menjadikan Kumpulan EPIC syarikat pilihan utama, sebagai panduan semua peringkat pengurusan dan kakitangan. 

Beliau berkata visi itu selari dengan hasrat dan objektif kumpulan untuk membina masa depan syarikat yang lebih gemilang (Shaping The Growing Future).

 "Pembangunan modal insan amat penting untuk pastikan syarikat dapat menggembleng tenaga pekerja agar syarikat mencapai kejayaan yang diharapkan. Kejayaan ini akan dijadikan kayu ukur prestasi pekerja, syarikat ataupun aktiviti yang dilaksanakan. 

“Semua penilaian akan dibuat berdasarkan merit, kecekapan dan kemampuan melaksanakan tugasan. Mereka yang mempamer prestasi cemerlang akan diberikan peluang dan penghargaan, manakala yang tidak layak (under performance) kita akan fikirkan cara untuk tambah baik dan tingkatkan daya saing," katanya dalam temu bual khas bersama Bernama.

 Mengulas lanjut, Muhtar berkata selain visi, Kumpulan EPIC turut mengaplikasi lima teras utama dalam gerak kerja dan operasi perniagaannya. 

Lima teras berkenaan termasuk kesihatan, keselamatan, alam sekitar dan kualiti (HSEQ); kelestarian (Sustainability); kawalan tadbir urus dalaman (Controls); pertumbuhan (Growth) dan sumber manusia (People).

 "Dalam masa sama, saya juga membentuk dan mengetengahkan satu 'Culture Slogan' atau slogan budaya yang dinamakan sebagai BE FACT (Better, Faster, Competitive). Slogan Budaya ini lebih kepada olahan tindakan (pengurusan dan kakitangan) untuk menjadikan syarikat lebih baik, lebih berdaya maju dan cerdas dalam membuat keputusan. 

 "Ia penting bagi menangani isu-isu yang timbul dan memberi perkhidmatan lebih cemerlang kepada pelanggan," katanya yang baru dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC pada 17 April lepas. 

Dalam pada itu, Muhtar yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri minyak dan gas, automotif, komoditi, pengurusan pelabuhan dan logistik berkata beliau juga akan membuat beberapa penstrukturan kecil bertujuan menyusun dan memperkemas organisasi syarikat agar lebih cekap dan mapan.

 Turut dilaksanakan langkah penyeragaman polisi dan dasar ke atas semua anak syarikat supaya segala tindakan atau keputusan diambil selari dengan kehendak serta arahan ditetapkan kumpulan. 

 "Selain itu saya juga berhasrat untuk memperkasa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan sebagai bakti kepada komuniti. Tahun ini, dalam belanjawan 2024 kita telah meluluskan RM2.3 juta untuk pelbagai program CSR termasuk tajaan sukan, aktiviti kemasyarakatan, kebajikan, keagamaan, sumbangan dan sebagainya.

 "Di Kumpulan EPIC sendiri sebanyak 84 peratus daripada lebih 1,500 warga kerjanya terdiri daripada rakyat Terengganu. Begitu juga dengan vendor yang sebahagian besarnya ialah syarikat anak tempatan," katanya.

 -- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan