EKONOMI

SAPURA ENERGY LUPUS 50 PERATUS KEPENTINGAN DALAM SAPURAOMV PADA HARGA RM3.37 BILION

22/04/2024 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Subsidiari milik penuh Sapura Energy, Sapura Upstream Assets Sdn Bhd telah memeterai perjanjian bersyarat untuk melepaskan kesemua 50 peratus kepentingan ekuitinya dalam SapuraOMV Upstream Sdn Bhd kepada TotalEnergies Holdings SAS dari Perancis pada harga US$530.3 juta (RM2.53 bilion) secara tunai.

TotalEnergies juga akan melepaskan Sapura Energy daripada tanggungan US$175 juta berhubung kemudahan pembiayaan yang dilanjutkan oleh OMV Exploration & Production GmbH (OMV E&P) kepada SapuraOMV, berhubung dengan langganan saham serta langkah penstrukturan semula antara Sapura Energy, OMV E&P, SapuraOMV dan Sapura Upstream pada 31 Jan 2019.

“Oleh itu, jumlah pertimbangan pelupusan bagi transaksi tersebut, merangkumi pembayaran tunai US$530.3 juta dan pelepasan obligasi US$175 juta, berjumlah sebanyak US$705.3 juta (RM3.37 bilion),” kata Sapura Energy dalam satu kenyataan hari ini.

Perjanjian ini susulan perjanjian yang ditandatangani awal tahun ini oleh TotalEnergies untuk memperoleh 50 peratus lagi pegangan dalam SapuraOMV daripada OMV AG yang berpangkalan di Austria.

Sapura Energy berkata cadangan pelupusan itu dijangka menghasilkan keuntungan bersih daripada penjualan kira-kira RM793 juta apabila ia selesai, meningkatkan kedudukan kewangan kumpulan.

Di bawah terma perjanjian, pemerolehan tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan pelarasan penutupan biasa. Dengan mengambil kira kelulusan kawal selia daripada bidang kuasa tertentu, penutupan tersebut dijangka selewat-lewatnya menjelang separuh kedua 2025.

“Namun begitu, pengurusan kedua-dua Sapura Energy dan TotalEnergies komited untuk mempercepatkan penyelesaian transaksi ini menjelang akhir tahun,” kata syarikat itu.

Sapura Energy secara aktif telah meneruskan pelupusan kepentingannya dalam SapuraOMV, sejajar dengan penstrukturan semula bagi menangani hutang tidak mampan dan hutang tertunggaknya.

“Hasil pelupusan bersih ini akan digunakan untuk menyelesaikan jumlah terhutang kepada pemiutang skim Sapura Energy yang berkaitan termasuk pemberi pinjaman dalam pembiayaan pelbagai mata wang,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy Datuk Mohd Anuar Taib berkata dengan pemilikan penuh SapuraOMV, kumpulan itu yakin TotalEnergies akan memberikan tumpuan yang tepat untuk mengembangkan lagi potensi pertumbuhan asetnya.

“Rasionalisasi portfolio ini menandakan peralihan strategik kami daripada perniagaan penerokaan dan pengeluaran, sambil kami meningkatkan keupayaan teras kami untuk menyampaikan penyelesaian inovatif kepada industri tenaga yang dinamik,” katanya.

Segmen perniagaan teras Sapura Energy yang tinggal merangkumi kejuruteraan dan pembinaan, penggerudian serta operasi dan penyelenggaraan, dengan tempahan dalam tangan secara kolektif mencecah kira-kira RM6.6 bilion.

SapuraOMV mempunyai operasi dengan peringkat berbeza dalam kitaran hayat minyak dan gas yang terletak di Malaysia, Australia, New Zealand serta Mexico.

Aset SapuraOMV terdiri daripada kepentingan pengendalian 40 peratus dalam Blok SK408 serta 30 peratus kepentingan pengendalian dalam Blok SK310, kedua-duanya terletak di luar pesisir Sarawak.

“Pembangunan medan gas Jerun dalam Blok SK408 kekal di landasan untuk dimulakan menjelang separuh kedua 2024,” katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan