AM

20,000 Penganut Hindu 'berkampung' Di Teluk Intan Sempena Chithirai Pournami

22/04/2024 07:20 PM

TELUK INTAN, 22 April (Bernama) -- Hampir 20,000 penganut Hindu di seluruh negara ‘berkampung’ beberapa hari di Teluk Intan bagi meraikan perayaan Chithirai Pournami di Kuil Sri Thendayuthapani yang terletak di Jalan Bandar di sini, bermula esok.

Chithirai Pournami merujuk kepada bulan penuh yang jatuh pada bulan pertama dalam kalendar Tamil dikenali Chithirai dan ia merupakan satu daripada perayaan penting bagi penganut Hindu di Malaysia.

Menurut kepercayaan agama Hindu, perayaan itu diadakan setahun sekali bagi memperingati kelahiran seorang pembantu Dewa yang dilahirkan ketika bulan penuh. 

Pemegang Amanah Kuil Sri Thendayuthapani A. Meyappam berkata perayaan yang disambut bermula 4.30 pagi esok, dimulakan dengan upacara 'paal koodam' atau menjunjung belanga mengandungi susu diikuti upacara sembahyang di kuil yang berusia lebih 100 tahun itu.

"Bermula 11 pagi pula, mereka melakukan sembahyang di kuil ini serta membawa kavadi dan memecahkan kelapa. Upacara keagamaan itu untuk menyempurnakan 'nazar' masing-masing.

"Kita juga akan menyediakan makanan tradisional  India tengah hari esok berasaskan vegetarian seperti appalam, payasam, bendi masala gravy, kari parpu sayur dengan dimakan bersama nasi yang dikukus dan makan di atas daun pisang,”  katanya ketika ditemui Bernama hari ini, sambil menambah perarakan pedati berhias sejauh 1.5 kilometer di sekitar bandar Teluk Intan juga diadakan bermula 8 malam esok.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Zairul Akmal Kasim berkata terdapat gerai jualan dikelolakan oleh Koperasi Pembangunan Kaum India Bagan Datoh Berhad di sekitar Jalan Bandar, Jalan Ah Cheong dan Jalan Selat membabitkan 144 peniaga bermula 20 hingga 28 April.

"Dari segi kebersihan, penganjur telah menyediakan 20 tong sampah dan 15 petugas dengan kutipan sampah sebanyak tiga kali sehari dilaksanakan oleh kontraktor pembersihan yang dilantik sepanjang perayaan itu.

“Lima unit tandas awam bergerak juga disediakan oleh penganjur dan diletakkan di Jalan Bandar serta di tepi sungai di Kampung Terengganu," katanya.

Zairul Akmal berkata pihak penganjur menyediakan khidmat lapan orang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak dan Bahagian Penguatkuasa MPTI bagi mengawal lalu lintas.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan