AM

ISU KECICIRAN PELAJAR ORANG ASLI BERJAYA DIATASI MENERUSI SEKOLAH K9, K11

22/04/2024 07:20 PM

GUA MUSANG, 22 April (Bernama) -- Isu keciciran pelajar di kawasan pedalaman khususnya masyarakat Orang Asli telah berjaya dikurangkan susulan penubuhan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata perkara itu dapat dibuktikan apabila kehadiran murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Permai (JHEOA) K9, di sini telah mencapai 100 peratus, hasil sokongan ibu bapa dan guru dalam memastikan sekolah K9 dan K11 berterusan.

“Sekolah K9 dan K11 (penubuhan) adalah komitmen Kementerian Pendidikan yang memberikan tumpuan sekolah rendah dan sekolah menengah dalam satu bangunan dan kawasan.

“Oleh itu, Kementerian Pendidikan akan terus memperluas sekolah K9 dan K11 di seluruh negara yang melibatkan anak-anak Orang Asli dan peribumi agar mereka tidak keciciran pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekolah berkenaan pada Program Jelajah Pendidikan MADANI Sekolah Murid Orang Asli di sini hari ini.

Mengenai infrastruktur SK Sri Permai susulan terdapat beberapa bangunan kelas yang lantainya runtuh disebabkan aliran air bawah tanah, beliau berkata perkara berkenaan akan diberi tumpuan dan sekolah itu juga akan diberikan tapak baharu.

Fadhlina berkata Jabatan Kerja Raya telah membuat penilaian tapak dan perkara berkenaan telah dibawa ke peringkat kementerian.

“Berdasarkan unjuran yang saya lihat tadi, kehadiran (murid) di SK Sri Permai telah meningkat. SK Sri Permai bukan lagi dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid dan saya harap projek pembinaan ini dapat diteruskan untuk memberi manfaat kepada anak-anak Orang Asli di sekitar kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kebanyakan guru sekolah itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan motosikal kerana laluan masuk ke sekolah berkenaan sejauh 80 kilometer melalui jalan yang tidak rata, berlubang, berlumpur serta berkerikil.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan