AM

NRES AKAN PANTAU, TELITI PROJEK PENEROKAAN MINYAK DAN GAS DI LEMBANGAN LANGKASUKA

22/04/2024 07:00 PM

PETALING JAYA, 22 April (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan memantau secara dekat sebarang projek baharu melibatkan alam sekitar di negara ini, termasuk penerokaan minyak dan gas (O&G) oleh Petronas di lembangan Langkasuka, yang terletak di kawasan utara Selat Melaka.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ini bagi memastikan pelaksanaan projek baharu itu mematuhi satu piawaian alam sekitar, serta mempunyai tanggungjawab yang tinggi kepada masyarakat.

Selain itu, beliau berkata sebarang pelaksanaan projek baharu haruslah selari dengan pendirian Malaysia yang berpegang kepada The UAE Consensus, yang dibuat pada persidangan perubahan iklim COP28 di Dubai tahun lepas, bahawa untuk sesebuah negara bergerak ke depan, perlu ada peralihan yang adil untuk tenaga lebih lestari.

Nik Nazmi berkata ini penting, kerana Malaysia pada masa ini masih sangat bergantung kepada sumber bumi, dengan Petronas merupakan antara penyumbang terbesar belanjawan negara melalui aktiviti penerokaan sumber berkenaan.

“… tapi saya percaya Petronas memberi perhatian kepada perkara ini, kerana mereka adalah antara syarikat yang sangat peka terhadap keperluan adanya satu peralihan yang adil kepada tenaga yang lebih lestari.

“Oleh itu kita ambil maklum perkara ini (penerokaan O&G di Langkasuka) supaya apa yang telah kita setuju dan capai selama ini dapat dipertahankan, dalam apa jua projek-projek baharu yang akan berlangsung,” katanya kepada pemberita selepas sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas amaran pemantau alam sekitar - Rimbawatch terhadap kemungkinan implikasi projek penerokaan O&G baharu Petronas di lembangan Langkasuka, yang terletak hanya 30 kilometer (km) dari Pulau Pinang dan 20km dari Langkawi.

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata penerokaan tersebut bukan sahaja akan menjejaskan tanggungjawab mitigasi Malaysia, tetapi juga mengancam kepelbagaian kehidupan biologi marin pantai, serta menjejaskan mata pencarian masyarakat nelayan dan pelancongan tempatan.

Bagaimanapun, Nik Nazmi menegaskan projek itu masih lagi di peringkat penerokaan dan akan perlu melalui penilaian tertentu seperti Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling oleh Jabatan Alam Sekitar, bagi memastikan ia dipantau secara teliti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan