EKONOMI

BURSA MALAYSIA MENINGKAT BAGI HARI KEEMPAT, INDEKS KOMPOSIT NAIK 0.78 PERATUS

22/04/2024 07:07 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Isnin dengan lebih tinggi yang juga peningkatan bagi hari keempat berturut-turut dengan indeks utama menokok 0.78 peratus, menjejaki prestasi lebih baik di kebanyakan pasaran serantau.

Pada 5 petang, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 12.02 mata kepada 1,559.59 daripada paras 1,547.57 pada akhir Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu yang dibuka mengukuh kepada 1,548.57, turut bergerak dalam jajaran 1,548.38 hingga 1,559.94 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 764 berbanding 331 manakala 420 kaunter lain tidak berubah, 858 tidak diniagakan dan 24 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan susut kepada 3.49 bilion unit bernilai RM2.53 bilion daripada 4.71 bilion unit bernilai RM3.40 bilion pada Jumaat lepas.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama kebanyakannya mengakhiri dagangan dengan lebih tinggi apabila kebimbangan terhadap konflik Timur Tengah yang memuncak sebaliknya mereda, mendorong pelabur untuk menumpukan semula aset yang berisiko.

“Emas dan dolar Amerika Syarikat (AS) yang lazimnya dilabelkan sebagai selamat, ternyata susut daripada paras tertinggi yang diraih baru-baru ini, manakala harga minyak mentah jatuh berikutan kebimbangan terhadap gangguan bekalan, juga reda.

"Selain itu, People’s Bank of China memilih untuk mengekalkan kadar utama pinjaman di paras rendah pada Isnin yang memaparkan komitmennya untuk mengekalkan keadaan monetari yang akomodatif untuk meningkatkan pemulihan ekonomi," katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, Ketua penyelidikan Kekayaan, Penasihat serta Pengurus Portfolio di UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI meningkat ketara hari ini yang memulihkan tahap sebelum serangan balas Iran selain memaparkan daya tahan pasaran tempatan dalam senario global yang tidak menentu.

“Ini ditambah lagi dengan tindakan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak naik unjuran keluaran dalam negara kasar Malaysia kepada 4.4 peratus berdasarkan daya tahan ekonomi dan potensi negara ini, yang mendorong keyakinan dalam kalangan pelabur.

“Pelarasan positif ini dijangka menyuntik kestabilan bagi pasaran, memupuk persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan dan kemakmuran,” katanya.

Mohd Sedek menjangkakan ketidaktentuan yang lebih ketara pada minggu ini berikutan pengumuman pendapatan firma teknologi utama AS seperti Tesla, Meta, IBM, Microsoft, Alphabet dan Intel.

“Walaupun pengumuman ini berkemungkinan besar memberi penurunan jangka pendek, adalah penting untuk mengakui bahawa pasaran serantau ini, didorong oleh sentimen atau keyakinan terhadap kecerdasan buatan, dapat membantu untuk mengharungi sebarang cabaran,” katanya.

Bagi bursa tempatan, beliau berkata terdapat anjakan sentimen ke arah lebih positif dan menjangkakan indeks penanda aras itu bergerak dalam aliran 1,540-1,570 minggu ini dengan rintangan segera pada 1,570 serta sokongan pada 1,540.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik sembilan sen kepada RM9.74, Public Bank meraih lima sen kepada RM4.20, CIMB menokok enam sen kepada RM6.62, Tenaga Nasional menambah empat sen kepada RM11.64 namun Petronas Chemicals turun dua sen kepada RM6.81. 

Bagi saham aktif, Keyfield International melonjak RM1.03 sen kepada RM1.93, Reneuco dan Dataprep masing-masing menokok 1.5 sen kepada sembilan sen dan 13.5 sen, Pan Malaysia naik setengah sen kepada 21.5 sen manakala Bina Puri turun setengah sen kepada 7.5 sen. 

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 87.55 mata kepada 11,683.62, Indeks FBM 70 melonjak 96.54 mata kepada 16,154.93, Indeks FBMT 100 menokok 82.29 mata kepada 11,330.24, Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 65.54 mata kepada 11,835.41 dan Indeks FBM ACE susut 70.36 mata kepada 4,929.34. 

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 40.54 mata kepada 7,416.19, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.59 mata kepada 185.08 manakala Indeks Tenaga menambah 2.93 mata pada 972.12, Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 2.93 mata kepada 972.12 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 150.51 mata kepada 17,269.29. 

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.95 bilion unit bernilai RM2.22 bilion berbanding 2.77 bilion unit bernilai RM3.01 bilion pada Jumaat lepas.

Waran berkurangan kepada 979.82 juta unit bernilai RM119.15 juta berbanding 1.23 bilion unit bernilai RM164.40 juta sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan susut kepada 558.35 juta bernilai RM187.78 juta daripada 702.72 juta saham bernilai RM222.46 juta, sebelumnya.

 Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 330.31 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (350.55 juta), pembinaan (249.06 juta), teknologi (261.91 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (72.52 juta), hartanah (273.67 juta), perladangan (29.85 juta), REIT (14.66 juta), dana tertutup (15,800), tenaga (215.63 juta), penjagaan kesihatan (45.54 juta), telekomunikasi dan media (21.09 juta),  pengangkutan dan logistik (29.83 juta), utiliti (56.28 juta) dan unit amanah perniagaan (939,600).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan