POLITIK

KERAJAAN TERENGGANU SENTIASA JALIN HUBUNGAN BAIK DENGAN PERSEKUTUAN - MB

22/04/2024 06:23 PM

KUALA TERENGGANU, 22 April (Bernama) -- Kerajaan Terengganu sentiasa menjalin hubungan dan kerjasama baik dengan Kerajaan Persekutuan serta menerima reaksi positif daripada kementerian termasuk pelbagai dana menerusi program berkaitan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sejak hari pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (2018) hingga kini, jalinan hubungan baik dengan Persekutuan sering diutamakan dan menjadi pendekatan kerajaan negeri.

“Saya selalu tekankan kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya bertemu dan berbincang dengan kementerian berkaitan dengan portfolio masing-masing demi kebaikan rakyat Terengganu.

“Jadi, ini secara berterusan dan Alhamdulillah respons daripada rakan-rakan di kementerian sangat baik dan ada perkara yang telah kita mampu capai serta peroleh dana daripada program bersama dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin sewaktu Istiadat Pembukaan Penggal Kedua DUN Ke-15 bertitah mahu kerajaan negeri mengambil pendekatan komprehensif merancang pengurusan kewangan yang efektif dalam menghadapi cabaran ekonomi kini, antaranya dengan memperkasakan jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Baginda bertitah melalui jalinan kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri perlu menyusun strategi jangka pendek, sederhana dan panjang secara komprehensif bersama jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan di negeri tersebut.

Titah baginda, kerjasama tersebut merangkumi perancangan cadangan projek-projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan berakhir pada 2025 dan ia hendaklah diteruskan bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan bermula pada 2026.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan