AM

PENINGKATAN KADAR SEWA BILIK HOTEL BAJET AKAN JEJASKAN INDUSTRI PELANCONGAN - ABDUL KARIM

22/04/2024 05:26 PM

KUCHING, 22 April (Bernama) -- Rancangan Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) untuk menaikkan kadar sewa bilik hotel bajet dalam tempoh tempoh tiga bulan lagi akan memberi kesan kepada industri pelancongan jangka masa panjang, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri  Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata langkah menaikkan kadar sewa itu tidak seharusnya dipertimbangkan sebagai jalan penyelesaian dalam menghadapi isu peningkatkan kos operasi atau ancaman kepada industri, sebagaimana yang didakwa persatuan.

“Ia tidak akan membantu industri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian Trofi Premier Sarawak bagi Kejohanan Tenis Remaja di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan presiden MyBHA Sri Ganesh Michiel pada hari Sabtu lepas, bahawa hotel bajet Sarawak akan menaikkan kadar sewa bilik mereka sekiranya tiada sebarang langkah diambil terhadap pelbagai aktiviti yang mengancam perniagaan mereka.

Antara ancaman yang disentuh Sri Ganesh adalah berkaitan operator hotel tidak berlesan yang menawarkan sewa bilik jangka pendek, aktiviti agensi pelancongan tanpa penyeliaan, di samping kos operasi yang melonjak.

Abdul Karim berkata kementeriannya serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah bekerja keras untuk menganjurkan lebih 200 acara setiap tahun bagi menarik pelancong datang ke Malaysia, yang seterusnya memberi manfaat kepada industri perhotelan.

Beliau berkata bagi Sarawak, acara-acara berkenaan itu telah menarik kehadiran ramai pelancong, yang pastinya perlu tinggal di hotel, dan ini membuatkan kadar sewa bilik hotel terus meningkat.

“Mereka perlu tinggal di suatu tempat walaupun tanpa anda (hotel) melakukan pemasaran (promosi). Industri ini berkembang maju. Bersyukurlah,” katanya.

Merujuk kepada isu pengusaha tidak berlesen yang menjejaskan perniagaan hotel bajet, beliau berkata walaupun proses pelesenan hotel terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan, kementeriannya sedia bekerjasama bagi memastikan semua pengusaha di negeri ini dikawal selia.

"Kita akan meneliti perkara ini dan membincangkannya dengan kerajaan tempatan, mengenai cara untuk menanganinya," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan