AM

JTKSM BUKA 1,701 KERTAS SIASATAN TERHADAP MAJIKAN SEPANJANG TAHUN LEPAS

22/04/2024 05:13 PM

KUANTAN, 22 April (Bernama) -- Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) membuka 1,701 kertas siasatan terhadap 444 majikan yang diperiksa, dalam Operasi Bersepadu yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas.

Ketua Pengarah JTKSM Kamal Pardi berkata ia membabitkan pelbagai kesalahan antaranya mengikut Akta Kerja 1955, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), serta Perintah Gaji Minimum di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 421 kertas siasatan telah dikenakan tindakan pendakwaan melibatkan jumlah denda RM504,836, manakala 848 kertas siasatan pula dikenakan tindakan kompaun RM4,536,000.

“Tahun lepas, sejumlah 444 operasi dijalankan. Untuk tahun ini ia diteruskan dan 240 operasi telah dilaksanakan sejak Januari hingga Mac, melibatkan 240 majikan seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 370 kertas siasatan telah dibuka dan 77 telah dikenakan pendakwaan dengan nilai denda RM1,000. Manakala, sebanyak 35 kertas siasatan telah dikenakan kompaun dengan tawaran kompaun RM425,000,” katanya.

Kamal berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Operasi Bersepadu yang dijalankan di beberapa sektor industri di sekitar Kuantan hari ini, yang turut melibatkan beberapa jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Selain JTKSM, operasi selama dua hari ini hingga esok melibatkan pemeriksaan terhadap lebih 60 majikan itu turut disertai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Human Resources Development Corporation (HRD Corp) serta Cawangan Kawal Selia dan Penguatkuasaan (CKSP) KESUMA.

Kamal berkata sehingga tengah hari, pasukan operasi yang terbahagi kepada enam kumpulan itu telah melakukan operasi ke atas 26 majikan dalam pelbagai sektor seperti perkilangan, perkhidmatan, peruncitan dan borong serta telekomunikasi.

“Sepanjang operasi, pegawai mendapati terdapat beberapa majikan dikesan tidak mematuhi peruntukan perundangan perburuhan antaranya, Perintah Gaji Minimum Negara 2011, Akta 800 di bawah PERKESO dan juga akta di bawah JKKP dan kesemua kesalahan itu akan diambil tindakan selaras mengikut perundangan agensi terlibat,” katanya. 

Kamal berkata operasi bersepadu merupakan antara mekanisme penguatkuasaan yang akan dilaksanakan secara berterusan dalam memastikan pemain industri patuh dengan perundangan perburuhan yang dikuatkuasakan di bawah KESUMA.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan