AM

Liam Sumbang Barangan Keperluan Harian Bernilai Rm40,000 Kepada Rumah Kebajikan

22/04/2024 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) berganding bahu dengan Malaysian Life Reinsurance Group untuk memberi sumbangan barangan keperluan harian bernilai RM40,000 kepada lima rumah kebajikan di Lembah Klang.

Rumah kebajikan terlibat ialah Rumah Kebajikan Baitun Ehsan Al Khairi, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Teratak Ummi, Rumah Anak Yatim Nur Qaseh, Pertubuhan Kebajikan Lindungan Ikhlas dan Sweetcare Welfare Society.

Presiden LIAM Raymond Lew berkata usaha yang turut mendapat sokongan daripada 16 syarikat insurans hayat itu bertujuan membolehkan rumah kebajikan berkenaan beroperasi dengan lebih teratur dan lancar.

“Malaysian Life Reinsurance Group telah menyumbang RM20,000 kepada inisiatif ini, ditambah RM20,000 daripada LIAM, yang menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM40,000.

“Semua barangan keperluan yang disalurkan dalam bentuk barangan asas seperti barangan runcit dan peralatan belajar akan dihantar terus ke rumah kebajikan terbabit dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran LIAM di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini hari ini.

Pada majlis itu, kira-kira 200 kanak-kanak, remaja dan penjaga dari rumah kebajikan terlibat dijamu dengan pelbagai juadah Aidilfitri dan hiburan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 LIAM tahun ini.

Kanak-kanak dan remaja berkenaan turut diberikan beg cenderahati mengandungi antaranya alat tulis, gelas air, beg tote dan kutleri.

Selain itu, Lew berkata LIAM melalui platform Insurans Hayat Cares turut menganjurkan pelbagai program melibatkan komuniti di dalam negara  seperti kempen derma darah, lawatan ke wad pediatrik dan program libat urus bersama belia setiap tahun bagi mendekatkan industri insurans hayat dengan masyarakat.

“Bersempena dengan sambutan jubli emas LIAM, beberapa inisiatif baharu telah dilaksanakan, antaranya sumbangan RM3 juta yang bersamaan dengan 100,000 dos suntikan vaksin human papillomavirus (HPV) kepada Persatuan Kanser Nasional Malaysia.

“Program Leaving No One Behind - HPV Vaccination ini bertujuan membantu remaja khusus dari kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan suntikan vaksin HPV secara percuma bagi mencegah penyakit kanser serviks, yang merupakan penyakit kanser ketiga paling lazim dalam negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan