DUNIA

PELANCONGAN PERUBATAN ANTARA ACARA KEMUNCAK KAZANFORUM 2024

22/04/2024 03:15 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Pelancongan perubatan akan menjadi satu daripada topik yang dibincangkan dalam forum antarabangsa "Rusia-Dunia Islam: KazanForum 2024" platform utama interaksi perniagaan antara Rusia dan negara-negara dunia Islam, yang akan diadakan dari 14 hingga 19 Mei di Kazan, Tatarstan.

Sekretariat KazanForum berkata pakar industri antarabangsa akan membincangkan pembangunan pelancongan perubatan di Rusia dan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), peluang baharu untuk pesakit dari Dunia Islam dan penyediaan perkhidmatan halal perubatan.

"Pelancongan perubatan semakin berkembang di Rusia. Jika pada tahun 2017, 300,000 warga asing menerima rawatan di Rusia, pada 2022 angka itu lebih daripada 1.2 juta. Sebahagian besar pesakit adalah dari negara-negara OIC," kata sekretariat itu dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, pakar percaya bahawa peningkatan jumlah pesakit adalah disebabkan oleh pelaksanaan projek peringkat persekutuan di Rusia, "Pembangunan eksport perkhidmatan perubatan" bermula dari 2019.

“Pelancongan perubatan halal telah pun muncul dan sedang berkembang di negara ini (Rusia). Ini biasanya merupakan pakej pilihan bagi pelancong Muslim yang mendapatkan rawatan semasa lawatan keagamaan," katanya. 

Menteri Kesihatan Rusia Mikhail Murashko berkata perubatan oftalmologi mendapat paling banyak permintaan oleh pesakit asing di Rusia, termasuk dari negara-negara Arab.

Kenyataan itu menyatakan semasa KazanForum pada 2023, telah diumumkan bahawa lima negara teratas OIC, yang rakyatnya menunjukkan minat terbesar dalam perkhidmatan perubatan di Rusia termasuk Azerbaijan, Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan dan Kyrgyzstan.

Profil paling popular dalam kalangan pelancong perubatan ialah rawatan perubatan, pemindahan, pergigian, onkologi, oftalmologi, pembedahan saraf dan pembedahan termasuk pembedahan kardiovaskular, otorinolaringologi, obstetrik dan ginekologi, urologi, traumatologi dan ortopedik, menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sesiapa sahaja boleh meningkatkan tahap kesihatannya di Rusia yang disahkan mengikut piawaian halal. 

Ia menambah bahawa Republik Tatarstan mempunyai program serantau "Pelancongan Halal" dengan pensijilan sukarela sanatorium untuk menerima tetamu dari negara-negara Islam.

Sementara itu, di peringkat persekutuan, sijil Roskachestvo "Halal" boleh menilai dan mengesahkan sanatoria di seluruh negara.

Sijil Roskachestvo Halal sah di wilayah negara-negara Teluk Parsi, beberapa negara OIC dan juga di negara-negara Kesatuan Kastam.

Antara kelebihan yang dapat dinikmati oleh pesakit yang datang ke Rusia termasuk penjagaan perubatan berteknologi tinggi yang maju, piawaian berkualiti tinggi, ketersediaan doktor kategori teratas dengan pengalaman antarabangsa dan kakitangan perubatan am yang berkelayakan.

Kelebihan lain bagi pesakit yang datang ke Rusia adalah kos perkhidmatan perubatan yang berpatutan dan perbelanjaan yang berkaitan seperti penginapan, makanan, pengangkutan, peribadi dalam rawatan dan kemungkinan rawatan pemulihan, serta jarak wilayah untuk beberapa negara OIC yang bersempadan dengan Rusia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan