AM

SULTAN MIZAN MAHU KERAJAAN TERENGGANU PERKASA KERJASAMA DENGAN PERSEKUTUAN

22/04/2024 03:03 PM

KUALA TERENGGANU, 22 April (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyarankan kerajaan negeri mengambil pendekatan komprehensif merancang pengurusan kewangan yang efektif dalam menghadapi cabaran ekonomi kini, antaranya dengan memperkasakan jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Baginda bertitah melalui jalinan kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri perlu menyusun strategi jangka pendek, sederhana dan panjang secara komprehensif bersama jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan di negeri ini.

“Kerjasama ini merangkumi perancangan cadangan projek-projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan berakhir pada 2025.

“Seterusnya kesinambungan perancangan ini hendaklah diteruskan bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan bermula pada 2026. Perancangan dan tumpuan yang teliti bagi perkara ini pastinya memberikan impak secara terus terhadap kesejahteraan rakyat Beta,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke istiadat tersebut ialah Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dalam pada itu Sultan Mizan menzahirkan rasa syukur atas kejayaan pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan secara mampan melalui Pelan Strategi Pertanian 2019 hingga 2023 yang mencatatkan peningkatan sebanyak 39 peratus pendaratan ikan marin.

Justeru itu, baginda mahu agar program yang dirancang terus diperkasakan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan menerusi pemfokusan kepada program pembangunan tukun ke arah mewujudkan tukun tiruan garis sempadan dan pesisir pantai perairan Terengganu.

Sultan Mizan juga menzahirkan rasa khuatir dengan kemasukan ternakan dari luar negara melalui penyeludupan yang tiada saringan serta sijil pengesahan bebas penyakit oleh negeri atau negara pengeluar, yang boleh memberi kesan buruk kepada industri ternakan.

“Permintaan tinggi terhadap ternakan yang mempunyai ketidaksahihan kawalan penyakit ini memberikan kesan langsung terhadap keselamatan makanan kepada rakyat. Penguatkuasaan berterusan sama ada di perairan mahupun sempadan negeri perlu dipergiatkan agar isu pencerobohan sumber marin serta penyeludupan ternakan ini terkawal dan tidak berleluasa,” titah baginda.

Sementara itu Sultan Mizan bertitah sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) merupakan sektor industri baharu dalam teknologi moden kini dengan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia mendapati Malaysia mempunyai kira-kira 15.2 juta tan NR-REE dan Terengganu memiliki deposit paling banyak, iaitu sekitar 7.2 juta tan.

Titah baginda, dengan sumber mineral baharu ini kerajaan negeri harus menentukan kaedah terbaik perlombongan NR-REE dengan memastikan rantaian nilai termasuklah industri pertengahan (mid-stream) dan hiliran (down-stream) diwujudkan di Terengganu dan seterusnya menjadi hab pengeluar serta pemprosesan utama negara.

Dalam pada itu, Sultan Mizan bertitah baginda dan seluruh rakyat Terengganu mengucapkan tahniah kepada jaguh trek berbasikal negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan pelumba lebuh raya wanita  Nur Aisyah Mohamad Zubir yang kedua-duanya berasal dari Terengganu, kerana layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Baginda juga mendoakan agar Terengganu kembali menjadi juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia yang bakal berlangsung di Sarawak pada Ogos nanti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan