AM

PENGEMBARA MALAYSIA TEROKA VENEZUELA, JALIN PERSAHABATAN DAN TANAM POKOK

22/04/2024 01:45 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, April 22 (Bernama) -- Rakyat Malaysia Katiravan Subarayan yang kini dalam misi merentas dunia menunggang motosikal, telah menambah satu lagi negara, Venezuela iaitu destinasi ke-41 dalam senarai negara yang dilawatinya, bertujuan mewujudkan kesedaran alam sekitar dan mempromosikan Malaysia di mata dunia. 

Sambil menunggang motosikal BMW R 1200cc GSA yang dikenali dengan nama Parameswara, Katiravan, 63, berkongsi pengalaman dan pertemuannya dengan warga Amerika Latin itu bersama Bernama.

Walaupun Venezuela sering dikaitkan dengan kemiskinan, keganasan yang berkaitan dengan geng dan kartel dadah, pesara Malaysia ini teruja dengan kemesraan dan persahabatan yang dijalin di negara Amerika Selatan itu. 

Beliau juga terkejut dengan layanan mesra yang diterima daripada pegawai imigresen Venezuela di sempadan Colombia-Venezuela, yang mempercepatkan proses kemasukannya.

Meneruskan perjalanan sejauh 240km ke barat laut Venezuela, beliau tiba di Maracaibo, Katiravan terpesona dengan deretan bangunan pencakar langit di bandar itu dengan landskap yang menarik dan berwarna-warni.

Walau bagaimanapun, katanya mencari bahan api adalah satu cabaran di Maracaibo. Meskipun terdapat banyak stesen minyak, kekurangan bahan itu menyebabkan penduduk tempatan menjual petrol dalam botol di tepi jalan.

Kekurangan bahan api itu, ironiknya mengakibatkan kekurangan kenderaan di jalan raya, menjadikan perjalanan Katiravan lebih selamat dan santai sambil menikmati keindahan panorama pada cuti hujung minggu.

Krisis ekonomi yang dihadapi negara itu tambahan pula sekatan antarabangsa yang diketuai Amerika Syarikat, menyebabkan Katiravan menghadapi masalah untuk mengeluarkan wang dari mesin teler automatik (ATM), terpaksa mengehadkan pengeluarannya kepada VES 800 (RM106) pada satu-satu masa disebabkan pengeluaran tunai yang ketat. 

Semasa berada di Maracaibo, Katiravan mendapat layanan daripada peguam, Yoratzy Reverol, peminat motosikal berkuasa tinggi yang dikenalinya di Colombia. 

Yoratzy yang memiliki empat superbike, adalah ahli dan seorang daripada pemimpin kumpulan penunggang motosikal atau bikers "Diamante Rojo MG" bersama rakan serumahnya, Sol, yang menunggang Kawasaki 650cc.

Kumpulan itu yang menyambut mesra ketibaan Katiravan bersama dua lagi ahli, turut membuat kejutan dengan meraikan sambutan hari jadinya yang jatuh pada 15 April.

Tersentuh dengan kebaikan mereka, Katiravan mengucapkan terima kasih kerana walaupun berada jauh dari tanah air, sambutan hari jadinya tetap diingati dan diraikan oleh sahabat baharunya.

Merenung tentang perubahan tak terduga yang dialaminya, Katiravan teringat meraikan ulang tahunnya yang terdahulu bersama seorang rakan di Melbourne, Australia. Beliau tidak menyangka bahawa tahun ini akan meraikannya di negara Amerika Latin itu.

Kebanyakan bikers Diamante Rojo MG juga teruja untuk mengetahui perjalanan yang ditempuh oleh Katiravan, malah ada yang membaca tentang pengembaraannya yang disiarkan dalam artikel berita Sepanyol.

Kemuncak penginapannya di Venezuela, terpahat memori manis apabila Yoratzy mengatur perhimpunan khas bersama kumpulannya sebagai penghormatan kepadanya. 

Disambut oleh lebih 120 bikers, Katiravan diberikan tepukan dan sorakan bergemuruh serta dihormati, satu pengalaman indah yang sukar dilupakan oleh beliau.

Selain bertukar-tukar pelekat motosikal dan merakamkan kenangan bersama kenalan baharu, Katiravan turut menyampaikan ucapan dan berkongsi coretan perjalanannya. 

Beliau turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas kemesraan dan layanan yang diterimanya, menganggapnya sebagai memori indah dalam pengembaraan luar biasa beliau.

Meneruskan komitmennya terhadap alam sekitar, Katiravan melawat Taman Botani Maracaibo (JBM) pada pagi, 20 April. 

Acara itu turut disertai oleh rakan penunggang dan Pengerusi JBM, yang kemuncaknya mereka turut menanam pokok, iaitu pokok ke-67 yang ditanam sepanjang pengembaraan global beliau untuk meningkatkan kesedaran dan melestarikan alam sekitar.

Apa yang lebih menyentuh hati Katiravan, sepanjang enam hari beliau menetap di negara itu, Yoratzy dan keluarganya telah memberikan layanan terbaik dan menyediakan penginapan secara percuma untuknya. Ketika mengucapkan terima kasih kepada hosnya, beliau berkata kebaikan mereka menyebabkan sukar baginya untuk berpisah dengan mereka dan meninggalkan bandar itu.

Namun perjalanan harus diteruskan, dari Maracaibo, perhentian seterusnya di Cabimas sejauh 51km. 

Laluannya membawa beliau ke "Lago De Maracaibo", menyaksikan satu daripada tasik terbesar di Amerika Selatan. 

Menyeberangi jambatan "Jeneral Rafael Urdaneta" yang mengagumkan, merentasi hampir 9km, Katiravan meneruskan pengembaraannya dengan penuh semangat untuk meneroka destinasi baharu sambil menghargai kenangan dan persahabatan yang terjalin di Venezuela.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan